KUALA LUMPUR, 4 Nov — Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) merangka pelan komprehensif, bagi memperkasakan pasaran antarabangsa termasuk menembusi pasaran Ghana di Afrika, serta pasaran Beijing di China menjelang 2027.
Timbalan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Chan Foong Hin berkata langkah menerusi Program Pemerkasaan Eksport dan Keusahawanan Global (GLOBEX) itu, bertujuan membangunkan keupayaan usahawan agromakanan tempatan yang berorientasikan eksport, sekali gus memastikan produk inovasi tempatan tidak terhenti sebagai bahan pameran semata-mata.
Beliau berkata Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) telah menetapkan sasaran khusus bagi tahun 2027, merangkumi pelaksanaan dua simulasi dan percubaan eksport, empat misi perdagangan, pembangunan enam produk persijilan eksport, serta lapan sesi pembentangan dan kursus bimbingan.
“Selain itu, inisiatif berkenaan menyasarkan pembangunan empat ejen pemasar luar negara melalui kerjasama syarikat pengurusan eksport. Sebagai contoh, kita akan mengetuai rombongan FAMA menyertai acara Asia Fruit Logistica 2027 di Hong Kong, misi pasaran Afrika ke Ghana dan misi pasaran China di Beijing,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi (PN-Kuala Kedah) mengenai mekanisme susulan KPKM bagi memastikan inovasi agromakanan yang dipamerkan dalam Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) berjaya dikomersialkan serta menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.
Mengulas mengenai pasaran domestik pula, Chan berkata FAMA memanfaatkan pelaksanaan projek pembangunan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13), menerusi Butiran Pembangunan Pasaran dan Padanan Produk Mikro (IAT).
Beliau berkata inisiatif IAT bagi 2027 itu menyasarkan pembangunan keupayaan kepada 100 usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) agromakanan, penyertaan dalam dua pameran perdagangan serta pengukuhan jenama melalui penambahbaikan kualiti, pembungkusan dan pelabelan.
Terdahulu, menjawab soalan asal Ahmad Fakhruddin, Chan memaklumkan penganjuran MAHA 2026 mencatat kejayaan membanggakan dengan pemeteraian 97 memorandum persefahaman (MoU) bernilai RM10.35 bilion, melepasi sasaran awal RM8 bilion.
Chan berkata segmen MAHA Go Global pula berjaya merekodkan nilai padanan perniagaan berjumlah RM714.4 juta sepanjang MAHA Traders Day, manakala FAMA memeterai tujuh MoU bernilai RM15.56 juta melibatkan syarikat tempatan serta rakan strategik antarabangsa.
Ahmad Fakhruddin ingin tahu sejauh mana penganjuran MAHA 2026 berjaya membuka peluang pasaran baharu kepada usahawan agromakanan tempatan serta inisiatif susulan kementerian bagi membantu produk usahawan yang berpotensi menembusi pasaran domestik dan antarabangsa.














Tinggalkan Balasan