Kerajaan Pernah Selamatkan Isu Utusan Malaysia, Kosmo! Sebelum Ini – Anwar

PETALING JAYA, 4 Nov — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kerajaan pernah menyelamatkan syarikat penerbitan akhbar Utusan Malaysia dan Kosmo! yang berhadapan dengan masalah dengan operasinya sebelum ini.

Beliau berkata isu terbaharu membabitkan syarikat itu yang dilaporkan meletakkan 100 pekerjanya dalam Program Cuti Berbayar baru-baru ini perlu diajukan kepada pemilik Media Mulia Sdn Bhd bagi mendapatkan penjelasan.

 “Utusan Malaysia tanya kepada pemilik dia. Kita sudah menyelamatkan sekali dulu,” katanya ringkas ketika ditemui pemberita selepas menghadiri sambutan Hari Perancangan Bandar Sedunia 2026 dan Peluncuran Rancangan Fizikal Negara Kelima (RFN5) dan Dasar Perbandaran Negara Ketiga (DPN3) di sini hari ini.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya kewajaran langkah rasionalisasi itu dan sama ada 100 individu terlibat memperoleh pampasan susulan keputusan itu.

Pada 2 Nov lepas, Pengarah merangkap Ketua Pegawai Kewangan Media Mulia, Abd Wahid Idris dalam kenyataan memaklumkan kira-kira 100 petugas, yang merupakan penerbit Utusan Malaysia dan Kosmo! akan diletakkan dalam Program Cuti Berbayar.

Ia sebagai langkah rasionalisasi oleh Media Mulia yang sedang melaksanakan penilaian strategik terhadap model perniagaan, struktur operasi dan hala tuju syarikat bagi memastikan kelangsungan serta kemampanan perniagaan dalam menghadapi cabaran industri media.

Utusan Malaysia adalah antara akhbar berbahasa Melayu tertua di Malaysia yang mula diterbitkan di Singapura pada 1939 oleh pelopor kewartawanan Melayu, Allahyarham Abdul Rahim Kajai, dan Allahyarham Yusof Ishak, yang kemudian menjadi Presiden pertama Singapura, manakala Kosmo! ialah akhbar versi tabloid yang mula diterbitkan pada 2004.