Kementerian, Agensi Diarah Semak Pelan Kesinambungan Perkhidmatan

KUALA LUMPUR, 4 Nov — Semua kementerian dan agensi kerajaan diarah menyemak semula Pelan Kesinambungan Perkhidmatan (BCP) masing-masing bagi memastikan fungsi penting kerajaan dapat diteruskan sekiranya berlaku gangguan terhadap sistem komunikasi, tenaga, pengangkutan atau kemudahan kritikal.

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata semua kementerian turut diarahkan memperkukuh penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak bagi menghadapi sebarang ancaman.

“Ingin ditegaskan, aspek kedaulatan dan keselamatan negara sama sekali tidak akan dikompromi,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Beliau berkata arahan itu turut merangkumi perancangan yang lebih tersusun serta keupayaan bertindak segera apabila berhadapan dengan sebarang ancaman.

Katanya, semua ketua setiausaha dan ketua perkhidmatan telah dipanggil semalam susulan kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim di Parlimen mengenai kesiapsiagaan keselamatan negara.

Shamsul Azri berkata ketidaktentuan dan konflik kepentingan di peringkat global menuntut kerajaan menilai semua ancaman yang kini tidak lagi tertumpu kepada ancaman konvensional sahaja.

Menurutnya, mekanisme bagi menghadapi ancaman siber, sabotaj, maklumat palsu dan gangguan kepada rantaian bekalan juga perlu diperkukuh.

“Keselamatan menyeluruh daripada semua aspek diberi perhatian serius serta setiap implikasi dan risiko terhadap keselamatan negara, kepentingan sektor strategik serta keselamatan rakyat menjadi keutamaan tertinggi kerajaan,” katanya.

Perdana Menteri di Dewan Rakyat semalam berkata kerajaan akan memperkukuh tahap kesiapsiagaan negara dalam menghadapi ketidaktentuan geopolitik dan ancaman keselamatan global, termasuk memastikan bekalan makanan, air dan tenaga negara mencukupi serta tidak terganggu.

Perdana Menteri berkata mekanisme pengurusan keselamatan dan krisis negara perlu terus diperkukuh, khususnya dari segi penyelarasan antara agensi, perkongsian maklumat dan kejelasan peranan setiap pihak.