PUTRAJAYA, 6 Nov — Malaysia dan Australia terus memperkukuh kerjasama dalam sektor pertanian dan keterjaminan makanan, termasuk memperluas akses pasaran produk pertanian Malaysia ke negara berkenaan.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam kenyataan hari ini memaklumkan usaha itu antara perkara yang dibincangkan menerusi Mesyuarat ke-14 Kumpulan Kerja Kerjasama Pertanian Malaysia-Australia (MAACWG) dan Mesyuarat ke-7 Kumpulan Kerja Sanitari dan Fitosanitari di bawah Perjanjian Perdagangan Bebas Malaysia-Australia (MAFTA SPSWG), yang diadakan di Canberra, Australia pada Rabu lepas.
“Kedua-dua mesyuarat menjadi platform untuk membincangkan kemajuan bagi kerjasama pertanian dan perdagangan sedia ada serta meneroka bidang dan peluang baharu untuk memperkukuh hubungan ekonomi kedua-dua negara.
“Antara perkara utama yang dibincangkan termasuklah usaha bagi membaharui Memorandum Persefahaman (MoU) Kerjasama Dalam Bidang Pertanian sedia ada serta memperluas akses pasaran produk pertanian Malaysia ke Australia,” menurut kenyataan itu.
KPKM menyatakan bahawa kerjasama dalam aspek biosekuriti, keselamatan makanan dan perkongsian kepakaran teknikal turut diberi perhatian bagi meningkatkan keupayaan agensi kerajaan dan industri di Malaysia serta memudah cara perdagangan produk pertanian ke Australia.
Kenyataan itu memaklumkan kerjasama tersebut dijangka memberikan manfaat kepada Malaysia melalui peluasan peluang eksport, peningkatan daya saing produk tempatan serta pengukuhan pelaburan dalam sektor agromakanan.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan bersama oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) KPKM Datuk Seri Norazman Ayob dan Timbalan Setiausaha (Kumpulan Perdagangan dan Peraturan Pertanian) Jabatan Pertanian, Perikanan dan Perhutanan Australia Tina Hutchison.
Mesyuarat itu turut disertai oleh pegawai KPKM, Jabatan Pertanian Malaysia, Jabatan Perikanan Malaysia, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia, Kementerian Perladangan dan Komoditi serta Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Canberra.
KPKM, dalam pada itu, memaklumkan bahawa Malaysia mengalu-alukan kehadiran delegasi Australia yang akan ke negara ini bagi Mesyuarat ke-15 MAACWG yang dijadualkan berlangsung pada 2028.
Nilai perdagangan pertanian dua hala antara Malaysia dengan Australia mencecah RM7.2 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, mencerminkan potensi besar hubungan perdagangan antara kedua-dua negara.












Tinggalkan Balasan