PRN Melaka: Henti Kempen Tepat 11.59 Malam Ini – Fahmi

PUTRAJAYA, 13 Nov — Semua calon Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16 diingatkan supaya menghentikan segala aktiviti kempen pada 11.59 malam ini termasuk menerusi platform media sosial, kata Menteri Komunikasi Datuk Seri Fahmi Fadzil.

Beliau berkata peringatan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) harus dipatuhi dengan tiada lagi hantaran baharu atau kandungan dalam akaun media sosial calon yang boleh ditafsirkan sebagai berkempen dari tengah malam ini hingga esok.

“Jadi tiada hantaran baharu di media sosial menjelang tengah malam ini. Kita masukkanlah mesej awal, jangan ada yang berkempen ataupun ditafsirkan sebagai berkempen termasuk di akaun media sosial pada esok,” katanya pada sidang media mingguan di sini hari ini.

Fahmi yang juga Jurucakap Kerajaan MADANI berkata Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan terus memantau bagi memastikan tiada pelanggaran undang-undang termasuk di media sosial.

Dalam pada itu, beliau menasihatkan pengundi supaya keluar lebih awal bagi menunaikan tanggungjawab sebagai pemilih berikutan jangkaan hujan esok.

“Bagi mereka yang akan balik ke kampung halaman untuk mengundi di Melaka, pandu kenderaan dengan selamat, pastikan mendapat rehat mencukupi, kenderaan diselenggara dengan baik dan jangan memandu melebihi had laju,” katanya.

Fahmi juga menyarankan orang ramai untuk merujuk akaun media sosial rasmi SPR seperti Facebook, Threads dan X berhubung perjalanan PRN Melaka selain mendapatkan maklumat sahih daripada media arus perdana.

“Rujuk di laman rasmi dan dapatkan maklumat daripada sumber yang sahih media arus perdana, bukan media yang menjelma dalam media sosial kerana kita dapati tidak mustahil ada pihak tertentu yang mungkin menghasilkan kandungan diragui kesahihannya,” katanya.

Sebanyak 675,166 pengundi layak menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian PRN Melaka ke-16 esok dengan peratusan keluar mengundi dijangka mencecah 70 peratus.