MANILA, 13 Nov — Filipina, selaku Pengerusi ASEAN 2026, berhasrat menerima pakai pelbagai dokumen keputusan menjelang berakhirnya Sidang Kemuncak Pemimpin ASEAN, termasuk langkah tambahan berkaitan tenaga dan keterjaminan makanan serta jerebu rentas sempadan, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
Menteri-Menteri Luar dijadual mengadakan Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN esok (14 Nov), diikuti Sidang Kemuncak ASEAN ke-49 dan Sidang Kemuncak Berkaitan yang menghimpunkan pemimpin dunia di Pusat Konvensyen Antarabangsa Filipina di Pasay City dari 15 hingga 17 Nov.
Mengenai jerebu rentas sempadan, Jurucakap Hal Ehwal ASEAN Jabatan Hal Ehwal Luar Dax Imperial berkata menteri-menteri luar akan mengenal pasti langkah yang berpotensi dilaksanakan terlebih dahulu sebelum mengemukakan syor berkenaan ke peringkat pemimpin.
Pada September lepas, kebakaran hutan yang meluas di Indonesia mencetuskan jerebu teruk yang melanda beberapa negara Asia Tenggara termasuk Filipina, menyebabkan kualiti udara merosot sehingga memaksa pihak berkuasa menggantung sesi persekolahan.
“Saya tidak dapat mendahului perbincangan kerana keputusan untuk mengenal pasti langkah berkenaan sudah tentu bergantung kepada perbincangan menteri-menteri luar dan akhirnya di peringkat pemimpin. Namun, wujud kesedaran serta komitmen dalam kalangan negara ASEAN untuk menangani isu ini,” katanya pada sidang media di Pusat Media Antarabangsa di Pasay City.
Selain itu, beliau berkata minggu sidang kemuncak berkenaan turut membincangkan isu jenayah rentas sempadan dan penipuan dalam talian, dengan para pemimpin dijangka merangka langkah baharu bagi melindungi pekerja migran di rantau ini.
Para pemimpin juga akan menggesa rakan sejawatan mereka supaya mempercepatkan proses ratifikasi Perjanjian Rangka Kerja ASEAN mengenai Keselamatan Petroleum (APSA) yang bertujuan memudahkan penyelarasan perkongsian bahan api kecemasan di rantau ini.
“Filipina merupakan negara pertama meratifikasinya sebagai tanda komitmen kami. Difahamkan setakat ini empat atau lima negara telah meratifikasinya dan kami berharap para pemimpin sendiri akan menggalakkan serta menyeru rakan sejawatan mempercepatkan proses ratifikasi berkenaan,” katanya.
Sekurang-kurangnya 19 pemimpin dunia akan berkunjung ke Filipina bagi menghadiri mesyuarat peringkat tinggi itu, termasuk Presiden Amerika Syarikat Donald Trump dan Presiden Brazil Luiz Inacio Lula da Silva.
ASEAN dianggotai Brunei, Kemboja, Indonesia, Laos, Malaysia, Myanmar, Filipina, Singapura, Thailand, Timor-Leste dan Vietnam.









Tinggalkan Balasan