Malaysia Seru COP31 Perkukuh Multilateralisme, Sokongan Geran Negara Membangun

KUALA LUMPUR, 18 Nov — Malaysia menyeru Sidang Kemuncak Iklim Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (COP31) untuk memperkukuh multilateralisme dan memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim yang beraspirasi, seimbang serta berteraskan pelaksanaan.

Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup berkata bagi tujuan itu, Malaysia menggesa negara maju meningkatkan sokongan berasaskan geran kepada negara membangun yang mempunyai kepelbagaian biologi bagi mempertingkatkan pemuliharaan hutan dan perlindungan biodiversiti.

Berucap ketika menyampaikan Kenyataan Negara pada Segmen Peringkat Tinggi COP31 di Antalya, Turkiye hari ini, Arthur berkata kerjasama antarabangsa perlu menjadi pemacu yang lebih kukuh kepada penyahkarbonan, daya tahan iklim dan pembangunan mampan.

“Malaysia turut menekankan bahawa hubungan antara tindakan iklim dan perdagangan antarabangsa memerlukan penglibatan yang konstruktif, seimbang dan berpandangan jauh.

“Pembiayaan iklim dan kaedah pelaksanaan mestilah sepadan dengan skala aspirasi kita serta menjurus kepada mekanisme yang lebih berkesan bagi membolehkan negara-negara membangun melaksanakan tindakan iklim,” menurut Kenyataan Negara itu yang dikongsikan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam kepada media hari ini.

Arthur turut menegaskan bahawa kesaksamaan dan prinsip Tanggungjawab Bersama tetapi Berbeza serta Keupayaan Masing-Masing (CBDR-RC) mesti kekal sebagai teras usaha kolektif dalam menangani perubahan iklim.

Beliau berkata Malaysia bersedia untuk bekerjasama secara konstruktif dengan semua pihak dalam memperkukuh multilateralisme serta memajukan tindak balas global terhadap perubahan iklim.

Menurut Arthur, fenomena El Nino tahun ini menjadi peringatan mengenai kerentanan terhadap haba melampau, kemarau berpanjangan, kekurangan bekalan air, gangguan sektor pertanian, kebakaran hutan dan tanah gambut serta jerebu rentas sempadan.

“Semoga Antalya menjadi titik permulaan kepada pembaharuan komitmen untuk merapatkan jurang pelepasan, memperkukuh daya tahan iklim dan menterjemahkan aspirasi kolektif kita kepada kemajuan yang nyata demi generasi masa kini dan akan datang,” katanya.

COP31 yang berlangsung dari 9 Nov hingga Jumaat ini menghimpunkan pemimpin dunia, menteri, perunding, saintis dan wakil masyarakat sivil bagi membincangkan pengurangan pelepasan gas rumah hijau, penyesuaian terhadap perubahan iklim serta pembiayaan iklim.

Persidangan itu bertemakan usaha menterjemahkan komitmen iklim kepada hasil boleh diukur.