Tadbir Urus Kendiri PKC Cerminkan Pendekatan Bercirikan China – Penganalisis

Penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus kendiri secara menyeluruh dan ketat oleh Parti Komunis China (PKC), mencerminkan pendekatan pentadbiran bercirikan China yang menjadi teras pemikiran Presiden Xi Jinping.

Menurut Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan berkata penekanan seperti yang digariskan dalam sidang pleno kelima Jawatankuasa Pusat ke-20 PKC itu selari dengan pendekatan Xi yang mengambil kira ciri-ciri dan keperluan China dalam setiap aspek pentadbiran.

Ahli Geostrategi dan Felo Kanan Akademi Penyelidikan Strategik Nusantara (NASR), Prof Dr Azmi Hassan

“Ini merupakan sesuatu yang amat menarik kerana ciri-ciri China diterapkan dalam setiap aspek pemikiran Xi Jinping dan apabila masyarakat luar, khususnya di Barat, melihat sistem pentadbiran China, mereka cenderung mengaitkannya dengan ideologi sosialisme atau komunisme.

“Namun, hakikatnya China telah membawa pembaharuan yang signifikan sehingga berjaya mengurangkan kadar kemiskinan secara drastik,” kata Prof Dr Azmi kepada CGTN Malay ketika dihubungi baru-baru ini.

Mengulas usaha membanteras rasuah yang turut diberi penekanan dalam sidang pleno berkenaan, beliau menyifatkan ketegasan penguatkuasaan sebagai langkah penting untuk membendung dan mencegah gejala berkenaan dalam pentadbiran China, sekali gus memastikan kelancaran pelaksanaan pelan pembangunan negara.

Sementara itu, penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Angeline Tan berkata usaha memperkukuh tadbir urus dan disiplin PKC mencerminkan keazaman Parti berkenaan untuk memastikan kestabilan pentadbiran.

Penganalisis Institut Kajian Strategik dan Antarabangsa (ISIS) Malaysia, Angeline Tan

Menurut beliau, penekanan itu merupakan perkembangan yang dialu-alukan ketika landskap geostrategik dunia berdepan ketidaktentuan yang semakin meningkat, dengan kestabilan dan hala tuju yang dapat dijangka semakin diperlukan.

“Walaupun berlaku pertukaran individu yang memegang jawatan, hala tuju dasar China dijangka kekal konsisten.

“Keadaan ini memberikan sedikit sebanyak kepastian kepada rakan antarabangsa, sekali gus meningkatkan keyakinan mereka dalam menjalin hubungan dengan China,” kata Angeline.

Sidang pleno kelima Jawatankuasa Pusat ke-20 PKC yang diadakan pada penghujung Oktober lalu, memberi penekanan terhadap pengukuhan tadbir urus kendiri Parti secara menyeluruh dan ketat, termasuk usaha membanteras rasuah, memperkukuh disiplin serta integriti dalam kalangan anggotanya.

Penekanan itu merupakan sebahagian daripada usaha meningkatkan keberkesanan pentadbiran bagi menyokong pelaksanaan agenda pembangunan negara.

Usaha itu turut diperkukuh lagi apabila Jawatankuasa Tetap Kongres Rakyat Kebangsaan (NPC) China pada 6 November lalu, meluluskan Undang-undang Antirasuah Rentas Sempadan sebagai usaha membanteras rasuah dan memperluas kerjasama antarabangsa dalam menangani jenayah berkenaan.