Malaysia Perkukuh Perdagangan Terbuka, Multilateralisme Dalam Perpecahan Ekonomi Global – PM Anwar

SHENZHEN (China), 19 Nov — Malaysia memperkukuh komitmennya terhadap perdagangan terbuka, multilateralisme dan integrasi ekonomi serantau yang lebih baik dalam keadaan ketegangan geopolitik yang meningkat dan perpecahan ekonomi global, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata keterbukaan kekal penting bagi Malaysia sebagai sebuah negara perdagangan dan menekankan keperluan untuk memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan serta memastikan perdagangan terus menjadi instrumen yang membuka peluang berbanding mewujudkan perpecahan.

Dalam Pernyataan Negara pada Mesyuarat Pemimpin Ekonomi Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) ke-33 di sini hari ini, Anwar berkata ekonomi serantau perlu terus komited terhadap kerjasama dan integrasi ekonomi bagi mengekalkan pertumbuhan dan kemakmuran bersama dalam landskap global yang tidak menentu.

“Kita perlu memperkukuh sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, meningkatkan integrasi ekonomi serantau dan memastikan perdagangan kekal sebagai instrumen yang membuka peluang berbanding mewujudkan perpecahan,” kata beliau.

Beliau berkata kemakmuran bersama bermaksud mewujudkan peluang pekerjaan yang lebih baik, meningkatkan taraf hidup rakyat dan membolehkan penyertaan bermakna dalam kemajuan ekonomi.

“Inovasi perlu menjadi penghubung ke arah kemakmuran bersama. Ketika kecerdasan buatan (AI) mengubah landskap ekonomi kita, kemajuan teknologi perlu memperkasakan rakyat dan memelihara maruah mereka,” kata beliau.

Anwar berkata gangguan baru-baru ini telah menunjukkan betapa cepatnya ketegangan geopolitik, ketidakstabilan bekalan tenaga dan cabaran berkaitan iklim boleh menjejaskan kehidupan rakyat di rantau ini.

Oleh itu, Perdana Menteri berkata kemakmuran bersama perlu seiring dengan membina daya tahan, termasuk komitmen yang tidak berbelah bahagi terhadap keselamatan siber.

“Kekuatan komuniti Asia Pasifik tidak seharusnya diukur hanya berdasarkan pertumbuhan yang dijana, tetapi melalui peluang yang diwujudkan, ketidaksamaan yang dikurangkan dan daya tahan yang dibina bersama,” kata beliau.

APEC merupakan forum antara kerajaan bagi 21 ekonomi anggota yang menggalakkan perdagangan bebas di seluruh rantau Asia Pasifik yang merangkumi hampir 40 peratus daripada populasi dunia, hampir separuh daripada perdagangan global dan lebih daripada 60 peratus ekonomi global.

Malaysia merupakan antara 12 anggota pengasas APEC. Anggota lain ialah Australia, Brunei, Kanada, Indonesia, Jepun, Korea Selatan, New Zealand, Amerika Syarikat, Filipina, Singapura dan Thailand.

China, Hong Kong, Taiwan, Mexico dan Papua New Guinea menyertainya pada 1993. Chile menyertai pada 1994 manakala pada 1998, Peru, Rusia dan Vietnam turut menyertainya menjadikan jumlah keahlian penuh seramai 21 anggota.