Lelaki Warga Indonesia Jatuh Bot Tunda Ditemukan Lemas

MELAKA, 19 Nov — Seorang lelaki warga Indonesia ditemukan lemas hari ini selepas dilaporkan terjatuh ke laut dari sebuah bot tunda ketika dalam perjalanan dari Indonesia menuju ke Jeti Tanjung Beruas, Tanjung Kling, di sini pada Selasa lepas.

Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tangga Batu Mohammad Fazzil Mohd Yusof berkata mayat mangsa yang berusia 38 tahun itu dijumpai oleh nelayan berhampiran jeti nelayan Kampung Hailam, Tanjung Kling, di sini kira-kira 10.40 pagi tadi.

Beliau berkata pihaknya menerima maklumat berkaitan dengan penemuan mangsa oleh nelayan sebelum menggerakkan anggota bomba dari Jeti Sungai Lereh menggunakan bot bagi mengambil mayat mangsa melalui laluan laut.

“Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Melaka menerima laporan insiden menimpa mangsa pada 3.48 petang pada Selasa sebelum gerakan mencari dan menyelamat (SAR) mangsa dilakukan dengan bantuan daripada BBP Melaka Tengah, khususnya Pasukan Penyelamat Di Air (PPDA) selain BBP Masjid Tanah.

“Hari pertama operasi mencari dan menyelamat mangsa yang turut mendapat kerjasama daripada beberapa agensi lain seperti polis serta Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), dilakukan di sekitar kawasan mangsa dilaporkan jatuh, namun mangsa tidak berjaya ditemukan sebelum operasi ditangguhkan,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Mohammad Fazzil berkata operasi hari kedua semalam diteruskan di sepanjang persisiran Pantai Klebang selain di kawasan perairan sejauh 1.5 batu nautika dari Pulau Upeh menggunakan teknik water surface.

Beliau berkata pada hari yang sama juga, pencarian mangsa dilakukan hingga jarak kawasan 13 batu nautika oleh kesemua agensi terlibat sebelum ditangguhkan pada 6 petang semalam dan dimulakan semula pada 7 pagi tadi.

Katanya, operasi hari ini melibatkan pencarian di kawasan perairan Pulau Upeh menggunakan teknik water surface dalam keadaan hujan dan angin kencang.