Kerajaan Rangka Penambahbaikan Mekanisme Insentif EV

KUALA LUMPUR, 19 Nov — Kerajaan sedang merangka penambahbaikan mekanisme insentif kenderaan elektrik (EV) bagi memastikan pemberiannya selaras dengan sasaran Dasar Automotif Nasional 2020 (NAP 2020) dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030).

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin berkata penambahbaikan itu bukan sahaja memberi penekanan kepada penyertaan vendor tempatan, pemindahan teknologi dan pembangunan tenaga kerja berkemahiran tinggi, malah turut menjadikan pencapaian serta penggalakan eksport antara kriteria utama dan syarat prestasi bagi pemberian insentif EV.

“Dalam mekanisma penetapan insentif sedia ada, kerajaan telah mensyaratkan pelabur untuk melaksanakan penyetempatan (localisation) dengan menggunakan sumber tempatan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Rodziah Ismail (PH-Ampang) yang ingin tahu mengenai kesediaan kerajaan menjadikan pencapaian nilai tambah domestik seperti pemindahan teknologi, pekerjaan berkemahiran tinggi, vendor tempatan dan eksport sebagai syarat prestasi insentif EV bukan sekadar komitmen pelaburan.

Ia susulan perubahan rancangan BYD yang tidak lagi meneruskan cadangan membina kilang pemasangan sendiri sebaliknya beralih kepada pemasangan melalui rakan tempatan.

Sim berkata matlamat utama kerajaan adalah untuk memastikan Malaysia bukan sekadar menjadi pasaran pengguna EV tetapi turut memperoleh manfaat jangka panjang melalui pembangunan keupayaan teknologi, pengukuhan rantaian bekalan dan vendor tempatan, pewujudan pekerjaan berkualiti serta peningkatan eksport sejajar dengan sasaran NAP 2020 dan NIMP 2030.