Kekayaan Jensen Huang Lepasi US$143 Bilion Selepas Kembali Menerajui Nvidia

MOSCOW, 24 Nov — Kekayaan bersih pengasas Nvidia Jensen Huang meningkat kepada lebih US$143 bilion susulan pelantikan semulanya sebagai ketua pegawai eksekutif (CEO) syarikat itu, menurut data Forbes, lapor Sputnik/RIA Novosti.

Pada Isnin, lembaga pengarah Nvidia sebulat suara memutuskan untuk melantik semula Huang sebagai presiden, CEO dan anggota lembaga pengarah berkuat kuasa serta-merta, selepas mengadakan rundingan dengan pegawai kerajaan Amerika Syarikat (AS).

Menurut Forbes, kekayaan bersih Huang dianggarkan berjumlah US$143.44 bilion setakat 1700 GMT Isnin, meningkat kira-kira US$32.4 bilion.

Beliau kini menduduki tangga ke-13 dalam senarai individu terkaya dunia selepas melonjak lima anak tangga.

Huang meninggalkan Nvidia selama 11 hari selepas meletak jawatan pada 12 Nov susulan skandal membabitkan hubungan rapatnya dengan Alice Huang, bekas eksekutif syarikat Megaspeed.

Jabatan Kehakiman dan Jabatan Perdagangan AS kini sedang menyiasat Megaspeed berhubung kemungkinan pelanggaran sekatan eksport.

Alice turut disyaki menyalurkan maklumat kepada China, namun dakwaan itu ditolak oleh Kementerian Luar China sebagai tidak berasas.