Lebih 44 Juta Rakyat Korea Selatan Layak Mengundi Pada Pilihan Raya Presiden 3 Jun

SEOUL, 23 Mei — Sebanyak 44.39 juta rakyat Korea Selatan layak mengundi dalam Pilihan Raya Presiden ke-21 yang dijadualkan pada 3 Jun ini, lapor agensi berita Yonhap.

Jumlah itu berdasarkan daftar pemilih yang dimuktamadkan setakat Khamis, menurut Kementerian Dalam Negeri dalam pengumuman pada Jumaat.

Daripada jumlah itu, 44.13 juta adalah pengundi dalam negara, manakala selebihnya merupakan pengundi berdaftar di luar negara. Angka itu menunjukkan peningkatan sebanyak 194,179 pengundi berbanding pilihan raya presiden sebelum ini pada 2022.

Mengikut jantina, seramai 21.97 juta atau 49.5 peratus adalah lelaki, manakala selebihnya ialah wanita.

Dari segi umur, pengundi dalam lingkungan usia 50-an merupakan kumpulan terbesar iaitu 19.6 peratus, diikuti oleh mereka yang berumur dalam lingkungan 60-an (17.7 peratus) dan 70 tahun ke atas (15.4 peratus).

Secara keseluruhan, pengundi berumur 60 tahun ke atas menyumbang 33.1 peratus daripada jumlah keseluruhan, melebihi gabungan pengundi berusia 20-an dan 30-an yang mencatat 28 peratus.

Berdasarkan wilayah, Wilayah Gyeonggi mencatat peratusan tertinggi pengundi layak iaitu 26.4 peratus, diikuti Seoul (18.7 peratus) dan Busan (6.5 peratus).