Hakim AS Putuskan Pemotongan Dana Penyelidikan NIH Oleh Trump Langgar Undang-Undang

WASHINGTON, 17 Jun — Seorang hakim persekutuan di Boston pada Isnin memutuskan bahawa tindakan pentadbiran Presiden Donald Trump menghentikan pembiayaan penyelidikan berkaitan kepelbagaian di Institut Kesihatan Kebangsaan (NIH) adalah menyalahi undang-undang, menuduh pentadbiran itu mendiskriminasi kumpulan minoriti, lapor Xinhua.

NIH sebelum ini membatalkan dana penyelidikan berjumlah lebih US$1 bilion kerana dianggap berkait dengan inisiatif kepelbagaian, kesaksamaan dan keterangkuman (DEI).

Dalam perbicaraan tanpa juri, Hakim Daerah AS William Young memutuskan bahawa tindakan itu melanggar undang-undang persekutuan dan disifatkan sebagai “batal dan tidak sah”.

Young, yang dilantik sebagai hakim persekutuan oleh Presiden Republikan Ronald Reagan, menyatakan bahawa beliau akan mengembalikan pembiayaan kepada organisasi dan negeri yang diterajui Demokrat yang memfailkan saman berhubung tindakan pemotongan itu.

Beliau mengkritik pembatalan dana bagi penyelidikan berkaitan kumpulan minoriti dan berkata, “Saya tidak pernah melihat rekod yang memperlihatkan diskriminasi kaum begitu nyata.”

“Sebarang bentuk diskriminasi oleh kerajaan kita adalah salah dan mahkamah wajib campur tangan. Saya akan mengeluarkan perintah sewajarnya pada masa yang sesuai,” kata Young.

NIH merupakan organisasi penyelidikan bioperubatan awam terbesar di dunia, yang memberikan kira-kira 60,000 geran setiap tahun kepada hampir 3,000 universiti dan hospital.

Institusi itu menjadi sasaran utama pemotongan bajet dan pengurangan perbelanjaan persekutuan di bawah pentadbiran Trump.

Sejak Trump memulakan penggal keduanya sebagai presiden pada Januari lalu, NIH telah menamatkan 2,100 geran penyelidikan berjumlah kira-kira US$9.5 bilion, serta tambahan kontrak bernilai US$2.6 bilion, menurut laporan media.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda