PM Anwar Arah Jabatan Kerajaan Henti Guna Barangan Import Dalam Acara Rasmi

PUTRAJAYA, 20 Jun — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan semua jabatan kerajaan untuk tidak menggunakan barangan import, terutamanya makanan, dalam acara rasmi bagi menggalakkan penggunaan produk tempatan.

Beliau berkata penggunaan bahan tempatan dalam acara kerajaan bukan sahaja menyokong ekonomi negara, tetapi turut memberi peluang lebih luas kepada petani tempatan untuk memasarkan hasil mereka.

“Jadi kalau seluruh jabatan kerajaan (laksana arahan ini), maknanya peluang petani untuk mengeluarkan bahan-bahan tempatan lebih banyak,” katanya ketika berucap pada majlis perhimpunan bulanan Kementerian Kewangan di sini hari ini.

Anwar membandingkan amalan itu dengan negara jiran yang tegas dalam penggunaan bahan makanan tempatan dalam setiap majlis rasmi.

“Laos, Vietnam, Thailand, saya belum pernah makan dalam upacara rasmi jemputan kerajaan-kerajaan ini bahan makanan import. Tidak ada, secara automatik mereka pastikan makanan tempatan,” katanya.

Sehubungan itu Perdana Menteri menegur kecenderungan sesetengah pihak yang masih memilih makanan import walaupun arahan jelas telah dikeluarkan.

Beliau menyifatkan tindakan itu tidak selari dengan semangat memperkasakan ekonomi tempatan, dan menasihati semua pihak supaya lebih peka terhadap keperluan menyokong hasil dalam negeri.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda