KUALA LUMPUR, 20 Jun — Mahkamah Tinggi di sini hari ini melepas tanpa membebaskan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak daripada tiga pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International Sdn Bhd (SRC) berjumlah RM27 juta.
Hakim K Muniandy membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Najib untuk dilepas tanpa dibebaskan.
Perintah DNAA (lepas tanpa bebas) bermaksud tertuduh dilepaskan daripada pertuduhan sementara namun boleh didakwa semula sekiranya pihak pendakwaan memilih untuk mengemukakan pertuduhan pada masa hadapan.
Muniandy dalam penghakimannya berkata kes terhadap Najib telah tergantung selama enam tahun sejak 2019 tanpa sebarang keterangan saksi dikemukakan, hanya mengalami beberapa penangguhan sekali gus menunjukkan bahawa pihak pendakwaan belum bersedia untuk meneruskan perbicaraan.
“Pihak pendakwaan masih belum bersedia untuk mendakwa kes ini dalam masa terdekat kerana mereka belum memperoleh dan mengumpulkan dokumen-dokumen penting yang diperlukan sebagai bukti terhadap tertuduh. Penantian terlalu lama untuk perbicaraan ini menjadi suatu beban berpanjangan bagi tertuduh dan menafikan haknya untuk mendapat penyelesaian sewajarnya dan tepat pada masanya,” katanya.
Hakim Muniandy berkata mahkamah mengambil maklum akan fakta semasa bahawa pertuduhan yang dikenakan terhadap Najib berkaitan kesalahan yang didakwa berlaku sejak 2014, namun pada 2025 kes itu masih belum dimulakan untuk perbicaraan.
“Berdasarkan faktor ini, perintah paling wajar adalah untuk mahkamah ini melepaskan tertuduh tanpa membebaskannya, agar beliau tidak terus dibebani dengan pertuduhan yang masih belum dapat diteruskan.
“Malah, tiada sebarang prejudis terhadap pihak pendakwaan dengan perintah pelepasan ini yang dalam istilah umum dikenali sebagai DNAA kerana pendakwaan masih boleh meneruskan kes ini apabila mereka sudah bersedia,” katanya.
Timbalan Pendakwa Raya Mohd Ashrof Adrin Kamarul ketika kes disebut di hadapan Hakim Muniandy minggu lepas berkata Jabatan Peguam Negara (AGC) telah menolak representasi yang dikemukakan bekas perdana menteri itu bagi menggugurkan tiga lagi pertuduhan pengubahan wang haram.
Pada masa sama, pihak pendakwaan memohon tempoh lebih lama bagi mendapatkan dokumen berkaitan dan menyediakan penyataan saksi.
Sehubungan itu, peguam utama kepada Najib, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah mencadangkan agar mahkamah melepaskan tanpa membebaskan anak guamnya demi memastikan keadilan ditegakkan memandangkan perbicaraan telah ditangguhkan sejak 2019.
Najib hadir ke mahkamah hari ini.
Sementara itu, Muhammad Shafee ketika ditemui pemberita selepas prosiding berkata Najib berpuas hati dengan keputusan mahkamah hari ini kerana jumlah pertuduhan dihadapinya telah berkurangan.
“Najib berkata beliau kini boleh memberi tumpuan kepada kes 1 Malaysia Development Berhad (1MDB),” katanya.
Pada 3 Feb 2019, Najib mengaku tidak bersalah atas tiga pertuduhan menerima wang berjumlah RM27 juta hasil kegiatan haram menerusi tiga akaun bank AmPrivate Banking miliknya di AmIslamic Bank Berhad, Bangunan Ambank Group, Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Bekas Ahli Parlimen Pekan itu didakwa mengikut Seksyen 4 (1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001 yang membawa hukuman denda maksimum RM5 juta atau penjara lima tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Najib kini menjalani hukuman di Penjara Kajang selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International.
Pada 2 Sept 2022, beliau telah memfailkan petisyen pengampunan diraja, dan pada 29 Jan 2024, Lembaga Pengampunan memutuskan untuk mengurangkan tempoh hukuman penjara daripada 12 tahun kepada enam tahun manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Tinggalkan Balasan