Operasi Penguatkuasaan Setiap Dua Hari Banteras Kegiatan “Ulat Foto”

KUALA LUMPUR, 16 April — Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menjalankan operasi penguatkuasaan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM) setiap dua hari bagi membanteras kegiatan jurugambar jalanan atau “ulat foto” di sekitar Persiaran Menara Berkembar Petronas (KLCC).

Datuk Bandar Kuala Lumpur Datuk Fadlun Mak Ujud berkata sekurang-kurangnya lima ulat foto ditahan dalam setiap operasi yang dijalankan dengan peralatan digunakan turut dirampas.

“Boleh lihat jumlah ulat foto di kawasan itu sudah berkurangan,” katanya kepada pemberita selepas majlis penandatanganan Memorandum Kerjasama (MoC) antara DBKL dengan CIMB Bank Berhad di bawah inisiatif ‘Moving KL Forward – Kita Bagi Jadi” di sini hari ini.

Beliau berkata selain penguatkuasaan, DBKL turut mengambil pendekatan memasang kamera litar tertutup (CCTV) bagi memantau kegiatan berkenaan serta sistem hebahan dalam beberapa bahasa yang membuat pengumuman setiap 10 minit memaklumkan pelancong untuk tidak menggunakan perkhidmatan “ulat foto”.

Fadlun berkata DBKL tidak akan mengeluarkan lesen untuk menjalankan aktiviti mengambil gambar di kawasan tumpuan pelancong di sekitar ibu negara kerana risiko keselamatan. 

“Apabila ulat foto ambil gambar, mereka berada di atas jalan, sekali gus mencetuskan situasi berbahaya kepada pelancong,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai tunggakan sewa rumah membabitkan 51 Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan Perumahan Awam (PA) di ibu kota berjumlah RM14 juta, Fadlun berkata DBKL mengambil pendekatan berhemah bagi mengatasi isu itu dengan menawarkan skim bayaran ansuran kepada penyewa.

“Kalau kita tegas, mereka (penyewa) pula tiada rumah. Jadi, kita kena lebih berhemah asalkan mereka bertanggungjawab untuk membayar sewa berkenaan,” katanya.

Beliau berkata menerusi pendekatan itu, pihaknya mendapat maklum balas positif daripada penyewa yang membuat aku janji untuk membuat bayaran secara ansuran.