China Seru Pertahankan Sistem Antarabangsa Berteraskan PBB

Wakil Tetap China ke Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Fu Cong menyeru masyarakat antarabangsa agar mempertahankan sistem global yang berteraskan PBB.

Perkara itu disuarakan Fu dalam mesyuarat memperingati ulang tahun ke-80 termeterainya Piagam PBB, yang diadakan pada Khamis.

Beliau menekankan bahawa pada 80 tahun yang lalu, dunia menyaksikan kemenangan besar dalam Perang Dunia Kedua menentang fasisme.

Susulan itu, Persidangan Perlembagaan di San Francisco kemudiannya meluluskan Piagam PBB dengan sebulat suara, meletakkan asas kepada multilateralisme dan membentuk norma asas hubungan antarabangsa.

“Kita perlu melindungi hasil kejayaan yang dicapai dalam Perang Dunia II dan menolak sebarang kenyataan atau tindakan yang bertujuan memutarbelitkan sejarah.

“Kita juga perlu memelihara orde antarabangsa yang berdasarkan undang-undang antarabangsa dan sistem perdagangan pelbagai hala berasaskan peraturan, selain mematuhi tujuan dan prinsip Piagam PBB, menolak penggunaan atau mengancam penggunaan kekerasan dengan sesuka hati.

“Selain itu, kita perlu mengamalkan multilateralisme yang sebenar, menyokong peranan utama PBB dalam pengurusan hal ehwal antarabangsa, mendorong pelaksanaan Agenda Pembangunan Mampan 2030 dan bekerjasama untuk menangani pelbagai cabaran global,” katanya.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda