Empat Individu Termasuk Dua Pemilik Syarikat Ditahan Kemuka Butir Matan Palsu

KUALA LUMPUR, 2 Julai — Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan empat individu termasuk dua pemilik syarikat kerana disyaki mengemukakan dokumen mengandungi butir matan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta.

Menurut sumber, kesemua suspek masing-masing tiga lelaki dan seorang wanita berusia lingkungan 40 hingga 50-an itu ditahan antara 6 petang dan 7 malam pada 30 Jun ketika hadir memberi keterangan di pejabat SPRM Sabah.

“Selain dua pemilik syarikat itu, dua lagi yang juga bekas Pengurus Tadbir dan bekas Pembantu Tadbir sebuah syarikat minyak tempatan dipercayai melakukan perbuatan berkenaan dari 2019 hingga 2023.

“Kedua-dua suspek juga disyaki bersubahat dengan kedua-dua pemilik syarikat dengan mengemukakan tuntutan palsu berkaitan perolehan percetakan dokumen Permit To Work (PTW) bernilai kira-kira RM5 juta,” katanya kepada Bernama.

Menurut sumber itu, tangkapan terhadap kesemua suspek berkenaan susulan Op Effingo yang dijalankan Bahagian Operasi Khas (BOK) SPRM.

“Pada 30 Jun, BOK menggeledah 10 lokasi berbeza termasuk kediaman suspek, pejabat dan beberapa syarikat di sekitar Kota Kinabalu, Sabah dan Lembah Klang.

“Melalui operasi dijalankan, SPRM menyita 22 akaun bank termasuk akaun ASB bernilai kira-kira RM2 juta dan pelbagai mata wang asing berjumlah kira-kira RM14,000, selain turut menyita tiga unit kereta mewah berjumlah kira-kira RM1.3 juta dan tiga unit telefon bimbit,” menurut sumber itu.

Mereka direman empat hari bermula semalam selepas Majistret Dzul Elmy Yunus membenarkan permohonan SPRM di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu.

Pengarah Kanan Bahagian Operasi Khas SPRM Datuk Mohamad Zamri Zainul Abidin ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu serta memaklumkan suspek akan dituduh di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan kesalahan lain di bawah AMLATFPUAA 2001 berkaitan aliran wang melibatkan aktiviti pengubahan wang haram.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda