Pelantikan Hakim Kanan Dilakukan Ikut Proses, Tepis Segala Tohmahan – PM Anwar

PUTRAJAYA, 18 Julai — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa pelantikan Ketua Hakim Negara dan beberapa hakim kanan dilaksanakan mengikut proses sewajarnya sekali gus menolak segala tohmahan dan dakwaan sebelum ini.

Beliau berkata pelantikan yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja dan diperkenan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim itu membuktikan proses pelantikan berjalan lancar serta mematuhi prinsip Keluhuran Perlembagaan.

“Sidang (Mesyuarat) Majlis Raja-Raja kali ini dengan sendirinya membuktikan proses berjalan baik dan kita tunduk kepada prinsip Perlembagaan 122B. Ini berbeza dengan tohmahan yang berlaku sebelum ini.

“Jadi saya harap dengan penjelasan ini dan keputusan (Majlis) Raja-Raja yang diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong, padamlah fitnah dan keluh-kesah yang berlaku…sebelum ini berminggu-minggu dikecam dan difitnah tetapi sekarang rupanya terbukti kenyataan itu meleset,” katanya.

Anwar berkata demikian kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Surau Istiqlal di sini hari ini.

Langgan Surat Berita

Dapatkan berita terkini kami terus ke peti masuk anda