KUANTAN, 8 Ogos — Sebanyak 145 projek Program Perumahan Rakyat 1Malaysia (PR1MA) Pahang dirancang sehingga kini, antara lain bagi menyediakan perumahan mampu milik yang selesa dan berkualiti kepada rakyat negeri ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.
Beliau berkata sebanyak 8,614 unit rumah telah siap dibina dan diserahkan kepada pemilik, manakala 2,653 unit lagi sedang dalam pelbagai peringkat pembinaan.
“Selebihnya pula dalam fasa perancangan yang akan digerakkan secara berperingkat mengikut potensi pembangunan kawasan,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Kunci PR1MA Pahang Sri Damai dan Majlis Pelancaran PR1MA Pahang Pandan dan Sungai Soi di pekarangan PR1MA Sri Damai di sini hari ini.
Pada majlis itu, Wan Rosdy menyerahkan kunci kepada 196 pemilik rumah PR1MA Pahang Sri Damai selain melancarkan 266 unit melibatkan dua fasa PR1MA Pahang Pandan dan 110 unit rumah berkembar PR1MA Pahang Sungai Soi.
Sementara itu, beliau berkata penyediaan rumah berkenaan adalah sebahagian daripada inisiatif kerajaan Pahang untuk kesejahteraan rakyat.
Tinggalkan Balasan