SCO Sedia Alu-Alukan Lebih Banyak Negara – Jurucakap China

BEIJING, 24 Ogos — Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) sentiasa bersedia mengalu-alukan lebih banyak negara yang berkongsi visi dengan pihaknya, kata Jurucakap Kementerian Luar China Mao Ning.

“SCO akan terus berpegang pada prinsip keterbukaan dan inklusif, serta mengekalkan pintu terbuka kepada semua negara yang menyokong semangat Shanghai,” katanya pada sidang media Jumaat.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan sama ada kehadiran negara bukan rakan dialog SCO seperti Indonesia, Malaysia, Vietnam dan Kemboja menandakan organisasi itu sedang mempertimbangkan kemasukan anggota baharu.

Teks sidang media itu disiarkan di laman sesawang kementerian berkenaan.

Pada Jumaat, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) melaporkan Pembantu Menteri Luar China Liu Bin berkata Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menyertai lebih 20 pemimpin dunia pada Sidang Kemuncak SCO 2025 di Tianjin, China, dari 31 Ogos hingga 1 Sept.

Seorang pegawai Kedutaan Malaysia di Beijing berkata Malaysia akan terlibat dalam Mesyuarat SCO Plus semasa sidang kemuncak itu.

SCO ditubuhkan pada 2001 di Shanghai oleh enam negara pengasas iaitu China, Rusia, Kazakhstan, Kyrgyzstan, Tajikistan dan Uzbekistan.

Keanggotaannya kini berkembang kepada 10 selepas Pakistan, India, Iran dan Belarus menyertai pertubuhan itu, manakala Mongolia dan Afghanistan diberikan status pemerhati.

Antara 13 negara rakan dialog SCO ialah Sri Lanka, Turkiye, Mesir, Arab Saudi dan Maldives.