Exco Selangor Dedah Terima Ugutan Video

SHAH ALAM, 14 Sept — Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor Mohd Najwan Halimi mendedahkan menerima e-mel berbaur ugutan daripada satu akaun tidak dikenali, memaparkan tangkap layar video yang disunting menerusi teknologi kecerdasan buatan (AI) dengan gambar wajahnya.

Mohd Najwan berkata menerusi e-mel yang diterimanya pada Jumaat lepas, beliau turut diugut agar membayar wang sebanyak USD100,000 (RM420,000) sebagai timbal balas bagi mengelakkan penyebaran video berkenaan.

Susulan itu, beliau membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) agar siasatan lanjut dijalankan berhubung penyalahgunaan teknologi AI serta cubaan menyebarkan fitnah menerusi penyebaran video pornografi.

“Pihak saya juga akan membuat laporan polis agar siasatan menyeluruh dapat dijalankan berhubung ugutan di sebalik e-mel ini,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Mohd Najwan percaya dalang di sebalik ugutan itu mengguna pakai modus operandi yang sama seperti insiden ugutan video  bekas Menteri Ekonomi Datuk Seri Rafizi Ramli, Ahli Parlimen Subang Wong Chen dan Ahli Parlimen Sungai Petani Dr Mohammed Taufiq Johari.

“Justeru, saya menyeru masyarakat supaya berwaspada dengan sebarang bentuk penipuan atau ugutan melalui internet. 

“Penyebaran kandungan palsu dan fitnah sebegini bukan sahaja mencemarkan maruah individu bahkan turut mengancam keselamatan dan keharmonian masyarakat,” katanya.