Trump: Semua Anaknya Berpotensi Jadi Presiden AS

MOSCOW, 12 Nov — Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump mengakui bahawa mana-mana anaknya boleh menjadi ketua negara itu pada masa hadapan, lapor Sputnik/RIA Novosti.

“Saya tidak tahu. Saya fikir dalam hal tertentu, mereka semua boleh,” kata Trump dalam temu bual dengan Fox News pada Selasa ketika ditanya anaknya yang mana berkemungkinan menjadi presiden pada masa depan.

Trump mempunyai lima orang anak. Semasa penggal pertama beliau, anak perempuannya Ivanka secara rasmi berkhidmat sebagai penasihat, namun beliau kini telah bersara daripada politik.

Dua anak lelakinya, Eric dan Donald Jr, memainkan peranan aktif dalam kempen pilihan raya presiden sebelum ini. Trump juga mempunyai seorang lagi anak perempuan, Tiffany, dan seorang anak lelaki, Barron, yang kini menuntut di Universiti New York.