BUENOS AIRES, 31 Dis — Sekurang-kurangnya seorang maut dalam perlanggaran membabitkan dua tren yang bertembung berhampiran bandar Inca, Machu Picchu, lapor Agensi Berita Jerman (dpa) pada Selasa yang memetik pihak berkuasa Peru.
Kementerian Kehakiman memaklumkan bahawa pemandu sebuah daripada tren yang terlibat dalam nahas itu disahkan meninggal dunia. Sebelum ini, pihak polis hanya melaporkan 15 mangsa cedera, termasuk seorang dalam keadaan parah.
Kemalangan itu berlaku pada petang Selasa apabila tren milik Peru Rail berlanggar dengan sebuah lagi tren milik Inca Rail di laluan Ollantaytambo-Machu Picchu yang menjadi tumpuan pelancong.
Pihak berkuasa Peru berkata siasatan berhubung nahas itu sedang dijalankan. Susulan kejadian, trafik rel di sepanjang laluan yang menghubungkan stesen Ollantaytambo ke Bandar Aguas Calientes (Bandar Machu Picchu) telah digantung.
Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Peru mengesahkan bahawa terdapat warga negara itu dalam kalangan mangsa yang tercedera.
Tapak runtuhan Machu Picchu merupakan antara tarikan pelancong paling penting di Amerika Selatan dan telah diiktiraf sebagai Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pelajaran, Sains dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO) sejak 1983. Tapak berusia 550 tahun itu mempunyai kapasiti sehingga 5,600 pelawat sehari, bergantung pada waktu, musim dalam setahun.
Bandar purba itu dibina semasa tamadun Inca pada abad ke-15 dan terdiri daripada kira-kira 200 buah bangunan.













Tinggalkan Balasan