Tuan-tuan dan Puan-puan, rakan-rakan seperjuangan sekalian,
Salam sejahtera. Masa begitu cepat berlalu, tahun baharu menjelang tiba. Pada masa ini, saya menyampaikan harapan yang terbaik kepada anda sekalian dari Beijing.
Tahun 2025 merupakan tahun terakhir bagi Rancangan Lima Tahun ke-14. Pada tempoh lima tahun ini, kami bertekad dengan penuh keberanian untuk terus maju ke hadapan, mengatasi sebarang kesukaran dan cabaran sehingga akhirnya mencapai matlamat dengan jayanya. Kami juga telah menuju langkah kukuh dan stabil dalam perjalanan perjuangan baharu modenisasi ala China. Pada tahun ini, kapasiti ekonomi China telah berturut-turut merekodkan angka baharu yang dijangka mencapai RMB140 trilion, manakala keupayaan ekonomi, sains dan teknologi, pertahanan negara dan keupayaan komprehensif China telah melonjak ke tahap baharu. Air jernih dan gunung hijau menjadi alam sekitar yang biasa, tahap kepuashatian, kebahagiaan dan keselamatan yang dapat dinikmati rakyat semakin meningkat. Pengalaman lima tahun yang lalu amat luar biasa dan pencapaian tersebut bukanlah sesuatu yang mudah. Kita semua berjuang sedaya upaya, tekun tanpa henti sehingga mewujudkan China yang begitu makmur dan dinamik pada hari ini. Saya memberikan penghormatan yang tidak terhingga atas semua usaha yang dilakukan.
Apa yang paling sukar dilupakan pada tahun ini adalah China mengadakan majlis memperingati ulang tahun ke-80 kemenangan Perang Rakyat China Menentang Pencerobohan Jepun dan Perang Anti Fasis Dunia, di samping menetapkan Hari Memperingati Pengembalian Taiwan kepada China. Majlis itu berjaya meningkatkan semangat rakyat China, kemuliaan kemenangan akan kekal tercatat dalam lipatan sejarah untuk sentiasa diingati oleh rakyat China agar menghargai jasa yang dicurahkan generasi yang pernah berkorban untuk keamanan, membuka masa depan serta mengumpulkan kekuatan besar demi kebangkitan gemilang bangsa China.
Pada tahun ini, China menyuntik daya motivasi bagi pembangunan berkualiti tinggi melalui inovasi. Sains dan teknologi berintegrasi dengan industri secara mendalam. Sehubungan itu, pencapaian inovasi banyak dihasilkan, pelbagai model gergasi kecerdasan buatan (AI) turut dicipta secara bersaing, manakala penyelidikan dan pembangunan berdikari dalam bidang cip pula mencapai kemajuan baharu. Oleh itu, China menjadi antara entiti ekonomi paling pantas dalam peningkatan daya inovatif di dunia. Pada masa yang sama, Tianwen-2 memulakan pengembaraannya ke bintang. Projek loji janakuasa hidro di hilir Sungai Yarlung Zangbo telah dimulakan. Kapal induk elektromagnetik yang pertama sudah mula beroperasi. Selain itu, robot humanoid turut mempersembahkan “aksi Kungfu”, pasukan dron pula menawarkan persembahan “bunga api” yang cukup menawan hati. Inovasi dan penciptaan bukan sahaja mendorong kewujudan kuasa produktif kualiti baharu, malah membuatkan kehidupan kita bertambah berwarna-warni.
Pada tahun ini, kami terus menyuburkan taman rohani dengan budaya. Tinggalan budaya, muzium dan warisan budaya tidak ketara semakin popular. Senarai Warisan Sedunia semakin bertambah ahlinya. Watak Wukong dan Ne’zha menjadi tular di pentas antarabangsa. Gaya zaman silam dan tradisional China menjadi aliran terhangat dalam kalangan golongan muda. Sektor kebudayaan dan pelancongan dilihat berkembang maju. Pertandingan bola sepak yang diadakan di bandar dan kampung yang turut dikenali sebagai “Cheng Chao” dan “Cun Chao” telah menarik perhatian umum. Sementara itu, sukan ais dan salji kekal diminati dan disertai ramai. Tradisi dan moden saling berintegrasi sehingga mewujudkan budaya bangsa China yang menghasilkan sinar lebih cemerlang.
Pada tahun ini, China berusaha menambah baik kehidupan. Saya telah menghadiri acara sambutan di Xizang dan Xinjiang. Dari dataran tinggi yang dilitupi salji ke selatan dan utara sekitar Gunung Tianshan, rakyat pelbagai etnik berganding bahu, rapat-rapat umpama isi delima. Mereka menggunakan Hada (selendang putih) serta tarian dan nyanyian yang meriah untuk meluahkan rasa cinta terhadap tanah air dan pujian tinggi terhadap kebahagiaan. Sebarang perkara melibatkan kehidupan rakyat adalah hal penting bagi saya untuk diberi perhatian, seumpama setiap daun dan ranting penting bagi suatu pokok yang hidup. Pada tahun ini, hak dan kepentingan golongan yang baru sahaja mendapatkan pekerjaan semakin terjamin, manakala projek pengubahsuaian mengikut keperluan warga emas telah membawa manfaat kepada golongan itu, subsidi bagi keluarga yang mempunyai bayi bertambah sebanyak RMB300 setiap bulan. Asalkan setiap “keluarga kecil” menjadi bahagia, barulah China, “keluarga besar” kita dapat bangkit menjadi semakin kuat dan sejahtera.
Pada tahun ini, kami terus membuka pintu untuk memeluk dunia. Sidang Kemuncak Tianjin Pertubuhan Kerjasama Shanghai (SCO) dan Sidang Kemuncak Wanita Global berjaya dilancarkan. Operasi kastam khas seluruh pulau di Pelabuhan Perdagangan Bebas (FTP) Hainan dilancarkan. Bagi menangani perubahan iklim secara lebih berkesan, China telah mengumumkan sumbangan negara pusingan baharu. Selepas mengumumkan tiga inisiatif yang masing-masing memfokuskan pembangunan, keselamatan dan peradaban, saya mengemukakan Inisiatif Tadbir Urus Global untuk mendorong pembinaan sistem tadbir urus sejagat yang lebih adil dan munasabah. Dunia kini tidak stabil dengan sebahagian wilayah masih terperangkap dalam kancah peperangan. China sentiasa bersebelah dengan ketepatan sejarah dan bersedia bersama-sama pelbagai negara untuk mendorong keamanan dan pembangunan dunia di samping mendorong pembinaan bersama komuniti berkongsi nasib sesama insan.
Saya telah menghadiri upacara perasmian temasya Sukan Kebangsaan Republik Rakyat China ke-15 yang lalu. Guangdong, Hong Kong dan Macau bersama-sama menjadi tuan rumah dengan penuh sehati sejiwa yang buatkan rakyat berasa besar hati. Kami akan terus mengekalkan dasar “Satu Negara, Dua Sistem”, menyokong Hong Kong dan Macau meningkatkan kerelevanan dalam landskap pembangunan negara dengan lebih baik di samping mengekalkan kemakmuran dan kestabilan jangka masa panjang. Pada masa yang sama, rakyat kedua-dua belah Selat Taiwan berasal dari daging dan darah yang sama. Trend sejarah penyatuan semula tanah air tidak terhalang.
Kemajuan Parti Komunis China (PKC) berkait rapat dengan kebangkitan negara. Sehubungan itu, kami melancarkan kempen pendidikan seluruh Parti untuk melaksanakan “keputusan lapan perkara” kepimpinan pusatnya mengenai peningkatan tatalaku kerja. Kami mengawal dan mentadbir Parti secara ketat dan serius untuk membasmikan rasuah dan meningkatkan revolusi terhadap diri sendiri sehingga budaya Parti dan politik terus diperbaiki. Selain itu, kami perlu mengekalkan cita-cita dan misi asal, terus memberi jawapan yang memuaskan mengenai pertanyaan yang pernah dilontarkan dari kediaman gua di Yan’an tentang bagaimana mengekalkan pentadbiran jangka panjang, sekali gus berusaha tanpa henti supaya tidak akan mengecewakan rakyat.
2026 merupakan tahun pertama pelaksanaan Rancangan Lima Tahun ke-15. Dimulakan dengan tekad pasti merancang sehingga pengakhirannya, setiap kejayaan pula pasti dirancang dengan teliti dari permulaan. Kami akan menetapkan matlamat dahulu, kemudian berusaha sedaya upaya untuk mendorong pembangunan berkualiti tinggi dengan kukuh, seterusnya mengintensifkan pelaksanaan dasar pembaharuan dan pintu terbuka, memberi kemakmuran bersama untuk semua rakyat demi membuka lembaran baharu keajaiban China.
Mengejar impian tanpa mengira sejauh mana gunung dan laut, menjejak langkah besar tanpa mengira betapa sukarnya liku jalan. Mari kita memberikan keberanian, membangkitkan semangat, meningkat ketekunan untuk berusaha bersama-sama merealisasikan impian dan mencapai kebahagiaan.
Matahari tahun baharu akan terbit tidak lama lagi. Semoga tanah air kita kekal indah, subur dan dilimpahi cahaya matahari. Semoga anda semua sentiasa ceria, meraih kejayaan dalam kerjaya dan mempunyai masa depan yang cerah.












Tinggalkan Balasan