AI Dijangka Sumbang RM20 Bilion Setahun Kepada KDNK Malaysia Menjelang 2030 – Gobind Singh

PUTRAJAYA, 5 Mei — Kecerdasan buatan (AI) dijangka menyumbang antara RM13 bilion dan RM20 bilion setahun kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) Malaysia menjelang 2030, kata Menteri Digital Gobind Singh Deo.

Beliau berkata AI telahpun menjadi penyumbang nilai ekonomi yang signifikan di Malaysia dengan unjuran menunjukkan ia boleh menambah antara 0.8 dan 1.2 mata peratusan kepada pertumbuhan KDNK Malaysia setiap tahun.

“Di peringkat nasional, ekonomi digital, yang semakin dikuasakan oleh AI, menyumbang lebih 23 peratus kepada KDNK Malaysia tahun lepas, dengan nilai ekonomi berjumlah lebih RM450 bilion.

“Unjuran ini menunjukkan perubahan struktur yang mana AI bukan lagi hanya sisi sampingan kepada ekonomi, tetapi telah menjadi penyumbang penting kepada produktiviti, daya saing dan pertumbuhan negara,” katanya dalam ucapan pada Persidangan Antarabangsa Belia 2026 (ICYouth) ke-5 anjuran Universiti Putra Malaysia (UPM), di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Menteri Digital Datuk Wilson Ugak Kumbong.

Pada masa yang sama, Gobind berkata Kementerian Digital akan melancarkan Inisiatif Inovasi Kerajaan (GII) tidak lama lagi, platform yang akan mengenal pasti masalah sebenar daripada sektor awam untuk membantu inovator, penyelidik dan belia membangunkan penyelesaian menggunakan teknologi baharu termasuk AI.

“GII bukan sekadar tentang inovasi, ia adalah inovasi yang dikawal selia bagi memastikan eksperimen dilakukan mengikut rangka kerja, dengan idea boleh diuji, diperhalusi dan dikembangkan secara bertanggungjawab.

“Dalam konteks ini, institusi seperti UPM adalah kritikal. Mereka menyediakan keupayaan teknikal, persekitaran penyelidikan dan bakat yang boleh bertindak balas secara langsung melalui GII terhadap masalah yang timbul,” katanya.

Gobind berkata impak jangka panjang AI bergantung kepada bagaimana ia dibangunkan dan digunakan, terutamanya oleh generasi muda.

“Masa depan AI tidak akan ditentukan oleh teknologi semata-mata, tetapi oleh nilai yang kita pupuk di dalamnya. Sistem yang direka, model yang dilatih dan data yang digunakan oleh belia hari ini akan mempengaruhi keputusan sebenar dan kehidupan sebenar,” katanya.

Beliau berkata platform seperti ICYouth penting kerana ia menyatukan para penyelidik, penggubal dasar, pemain industri dan belia untuk memastikan inovasi diseimbangkan dengan tanggungjawab.

Persidangan anjuran Institut Pengajian Sains Sosial (IPSAS) UPM itu yang bertemakan ‘AI dan Belia untuk Impak Masyarakat: Mentransformasikan Komuniti dan Meningkatkan Kesejahteraan’ memberi tumpuan kepada bagaimana teknologi AI boleh digunakan secara inklusif dan beretika untuk meningkatkan kesejahteraan sosial.