AirBorneo Mula Penerbangan Ke Jakarta

KUCHING, 13 Nov — Syarikat penerbangan milik Kerajaan Negeri Sarawak AirBorneo hari ini melancarkan penerbangan sulung dari Kuching ke Jakarta yang menandakan pembukaan laluannya ke Indonesia.

Ketua Pegawai Eksekutifnya Megat Ardian Wira Mohd Aminuddin menerusi kenyataan hari ini berkata laluan baharu itu memperkukuh jaringan udara antara Kuching dan Jakarta serta meningkatkan kesalinghubungan dua wilayah itu.

“Jakarta ialah destinasi pertama kami di Indonesia dan laluan jet ketiga sejak Julai. Kami melihat laluan ini bukan sekadar pasaran baharu, tetapi sebagai penghubung antara negara jiran serta berharap dapat memenuhi keperluan pengembara perniagaan, keluarga dan pelancong dari dua destinasi terlibat,” katanya.

Majlis pelancaran dirasmikan Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

Megat Ardian Wira berkata laluan itu turut menyokong pertumbuhan dua hala, khususnya melibatkan perdagangan, pelaburan dan kerjasama perniagaan antara Sarawak dengan Jakarta menerusi hubungan udara secara langsung.

Beliau berkata perkhidmatan itu juga membuka lebih banyak peluang pelancongan, termasuk kepada pelawat Indonesia untuk meneroka Tapak Warisan Dunia Pertubuhan Pendidikan, Saintifik dan Kebudayaan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNESCO), hutan hujan dan festival di Sarawak. 

Pengembara dari Borneo pula menurut beliau dapat menikmati kepelbagaian makanan, fesyen dan gaya hidup di Jakarta.

Penerbangan itu beroperasi tiga kali seminggu, iaitu Isnin, Jumaat dan Ahad dengan tambang bermula RM399 bagi kelas Ekonomi dan kelas Perniagaan RM888.

Pembelian tiket boleh dibuat menerusi laman web rasmi AirBorneo www.airborneo.com, aplikasi mudah alih syarikat penerbangan itu, pejabat jualan tiket dan ejen pelancongan yang sah.