Bursa Malaysia Pulih Pada Tengah Hari Disokong Daya Tahan Asas Ekonomi Domestik

KUALA LUMPUR, 21 Ogos — Bursa Malaysia kembali pulih pada tengah hari, dengan sentimen pasaran disokong oleh asas ekonomi domestik Malaysia yang kukuh dan berdaya tahan.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat 0.58 mata kepada 1,737.29 daripada paras 1,736.71 ketika ditutup pada Khamis.

Indeks penanda aras itu dibuka 0.63 mata lebih tinggi pada 1,736.08 dan bergerak antara 1,733.13 hingga 1,738.30 sepanjang sesi dagangan pagi.

Bagaimanapun, pasaran secara keseluruhannya negatif dengan kaunter rugi mengatasi kaunter untung, masing-masing 627 berbanding 455, manakala 516 kaunter tidak berubah, 1,274 tidak didagangkan dan 47 digantung.

Jumlah dagangan mencecah 2.38 bilion unit bernilai RM1.61 bilion.

Semalam, Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) melaporkan prestasi perdagangan Malaysia terus mengukuh pada Julai 2026, meningkat 37.3 peratus kepada RM364.7 bilion daripada RM265.7 bilion setahun sebelumnya, disokong pertumbuhan berterusan dalam eksport dan import.

Dalam kenyataan, DOSM berkata eksport Malaysia berkembang 38.0 peratus kepada RM193.6 bilion, manakala import meningkat 36.4 peratus kepada RM171.1 bilion, dengan lebihan dagangan berkembang 51.9 peratus kepada RM22.5 bilion pada bulan berkenaan.

Sementara itu, Apex Securities Bhd berkata FBM KLCI dijangka diniagakan dalam kecenderungan positif namun berhati-hati, meskipun kenaikan mungkin terhad berikutan hasil bon global yang tinggi serta risiko geopolitik yang berterusan.

“Harga minyak mentah yang lebih tinggi boleh memberikan sokongan kepada kaunter berkaitan minyak dan gas, namun kenaikan harga tenaga yang berpanjangan akhirnya akan meningkatkan kos input dan tekanan inflasi.

“Di peringkat global, prospek jangka pendek kekal lebih selektif dan defensif,” katanya dalam satu nota.

Antara saham berwajaran tinggi, Maybank meningkat empat sen kepada RM10.62, manakala Public Bank tidak berubah pada RM5.12. CIMB Group susut tiga sen kepada RM7.95, Tenaga Nasional kehilangan 10 sen kepada RM14.40 dan IHH Healthcare turun dua sen kepada RM8.32.

Dalam senarai kaunter paling aktif, NexG meningkat setengah sen kepada 33.5 sen, AirAsia susut tujuh sen kepada 81.5 sen dan Zetrix AI tidak berubah pada 65 sen, manakala JCY International meningkat 3.5 sen kepada 56.5 sen dan YTL Corporation menambah dua sen kepada RM2.45.

Antara kaunter untung utama, PPB Group dan United Plantations masing-masing melonjak 32 sen kepada RM10.22 dan RM32.20, manakala Fraser & Neave Holdings meningkat 30 sen kepada RM26.50, Kuala Lumpur Kepong naik 20 sen kepada RM21.64 dan YTL Power International menambah 19 sen kepada RM5.35.

Bagi kaunter rugi utama, Malaysian Pacific Industries susut RM2.10 kepada RM43.20, Nestle turun RM1.50 kepada RM130.30, Kelington Group merosot 30 sen kepada RM8.70, Vitrox Corporation kehilangan 23 sen kepada RM9.03 dan Kluang Rubber Co susut 20 sen kepada RM6.44.

Di papan indeks, Indeks FBM 70 turun 30.01 mata kepada 18,144.10, Indeks FBM Emas Shariah susut 10.61 mata kepada 12,647.96, Indeks FBM Emas merosot 1.89 mata kepada 12,835.73, Indeks FBM Top 100 berkurangan 2.09 mata kepada 12,654.13 dan Indeks FBM ACE turun 16.41 mata kepada 5,312.35.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan meningkat 76.38 mata kepada 9,404.81, Indeks Tenaga naik 3.05 mata kepada 778.19 dan Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 5.52 mata kepada 20,281.00, manakala Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian susut 0.66 mata kepada 186.89.