China Sedia Tingkat Kerjasama Dengan Malaysia Dalam Ekonomi Digital, AI

KUALA LUMPUR, 15 Mei — China bersedia untuk memperkukuhkan lagi kerjasama dengan Malaysia dalam inovasi saintifik dan teknologi, ekonomi digital serta kecerdasan buatan (AI), sambil memperkukuh penyelidikan bersama, pertukaran tenaga kerja dan kerjasama perindustrian.

Duta Besar China kepada Malaysia Ouyang Yujing berkata kerjasama itu akan memastikan pencapaian inovasi dapat memberi manfaat yang lebih baik kepada pembangunan sosial dan ekonomi kedua-dua negara, seterusnya menyumbang kepada kemakmuran, kestabilan dan pembangunan mampan serantau. 

“Malaysia merupakan ekonomi penting dalam ASEAN dan rakan kongsi utama China di Asia Tenggara, selain negara rakan kongsi utama Inisiatif Jalur dan Jalan. 

“Malaysia mempunyai asas yang kukuh dalam kejuruteraan elektronik dan elektrik serta semikonduktor, dan merupakan salah satu hab pembungkusan serta pengujian semikonduktor utama di dunia,” katanya ketika berucap merasmikan Ekspo Teknologi Pintar China Ke-6 2026 di sini pada Jumaat.

Yang turut hadir, Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching dan Presiden Persatuan Usahawan China di Malaysia (PUCM) Datuk Keith Li.

Ouyang menambah bahawa China kekal sebagai rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut. 

Katanya, kepentingan strategik hubungan antara China dan Malaysia dalam rantaian perindustrian, bekalan dan inovasi terus berkembang, sekali gus mewujudkan prospek yang meluas bagi kerjasama ekonomi serta teknolgi antara kedua-dua pihak. 

Beliau menyatakan bahawa Ekspo Teknologi Pintar China telah menjadi platfrom penting bagi mempromosikan kerjasama China-Malaysia dalam pertukaran sains, teknologi serta ekonomi. 

Tambahnya, menerusi platform itu, semakin banyak perusahaan dari China meningkatkan kerjasama dengan rakan kongsi Malaysia, mencapai kemajuan berterusan dalam bidang seperti AI, komunikasi 5G, bandar pintar, tenaga baharu, pembuatan pintar dan ekonomi digital. 

Beliau turut berharap bahawa ekspo itu akan terus menggalakkan kerjasama peringkat tertinggi antara kedua-dua pihak dalam penyelidikan dan pembangunan teknologi, sinergi perindustrian, pertukaran bakat serta kerjasama pelaburan. 

“China bersedia untuk bekerjasama dengan Malaysia bagi menegakkan keterbukaan, keterangkuman, manfaat bersama dan kerjasama serta situasi yang saling menguntungkan.

“Selain itu, bersama-sama membuka lembaran baharu dalam ‘Menghubungkan China dan Malaysia melalui Kebijaksanaan, Mencipta Masa Depan Bersama’,” tambahnya.