KUALA LUMPUR, 6 Julai — HLIB Research menjangkakan kerja-kerja dalam sektor pembinaan di Malaysia meningkat pada separuh kedua 2026 selepas mengharungi ketidaktentuan pada suku pertama.
HLIB memaklumkan kompilasi datanya menunjukkan jumlah kerja bagi projek tempatan meningkat kepada RM16.9 bilion pada suku kedua 2026 susulan pemberian kontrak domestik berjumlah RM10.8 bilion pada suku pertama 2026.
Ia menyatakan dengan kontrak domestik yang disalurkan pada separuh pertama 2026 berjumlah kira-kira RM27.7 bilion, aliran projek dijangka melonjakkan lagi momentumnya pada separuh kedua 2026, sekali gus berpotensi melonjakkan jumlah keseluruhan tahunan melebihi RM49 bilion yang direkodkan pada 2025.
“Gelombang kedua pembinaan pusat data dijangka mendorong beberapa tender pusat data berskala besar yang direalisasikan untuk kontraktor bermodal besar pada separuh kedua 2026,” menurutnya dalam nota penyelidikan hari ini.
Dalam pada itu, HLIB menambah ketidaktentuan geopolitikal yang semakin reda dijangka menyokong aliran projek kediaman pada separuh kedua 2026 memandangkan pemaju kembali yakin untuk melancarkan projek baharu di tengah-tengah persekitaran kos yang lebih menguntungkan dan sentimen pembeli rumah yang semakin bertambah baik.
Ia menyatakan beberapa projek infrastruktur utama dijangka menyokong penganugerahan kontrak pada separuh kedua 2026, termasuk baki pakej Transit Aliran Ringan (LRT) Pulau Pinang yang merangkumi Pakej Kerja Awam 2 dan pakej sistem dengan nilai gabungan projek kira-kira RM7 bilion.
Sehubungan itu, HLIB mengekalkan saranan ‘overweight’ terhadap sektor pembinaan dengan Sunway Construction Group Bhd dan IJM Corporation Bhd kekal sebagai pilihan utama, masing-masing dengan harga sasaran RM9.10 dan RM3.02.
“Walaupun kami kekal positif terhadap Gamuda (saranan ‘beli’ dengan harga sasaran RM5.27), kami menggantikannya dengan IJM sebagai pilihan kedua kami kerana kami percaya IJM kini menawarkan profil risiko dan ganjaran yang lebih menarik, dengan fasa terburuk berkemungkinan besar telah berlalu,” tambahnya.

















Tinggalkan Balasan