KUALA LUMPUR, 11 Okt — Kenaikan Insentif Pengeluaran Getah (IPG) kepada RM3.30 sekilogram yang diumumkan semasa pembentangan Belanjawan 2027 dilihat dapat membantu menampung sebahagian kos pengeluaran dan memberikan sokongan tambahan kepada pendapatan pekebun kecil.
Presiden Persatuan Kebangsaan Pekebun-pekebun Kecil Malaysia (PKPKM) Adzmi Hassan berkata ini terutama ketika mereka berdepan dengan ketidaktentuan harga pasaran serta peningkatan kos input pertanian ketika ini.
“Kenaikan kadar IPG tersebut sebagai langkah positif yang mencerminkan keprihatinan Kerajaan MADANI terhadap kebajikan pekebun kecil getah, khususnya dalam menghadapi peningkatan kos pada masa ini,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata IPG bukan sekadar bantuan kewangan sebaliknya merupakan instrumen penting untuk memastikan aktiviti penorehan getah terus berdaya maju dan pekebun kecil mempunyai dorongan untuk mengekalkan kebun mereka dalam pengeluaran.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat, berkata kenaikan itu merupakan kali ketiga kadar IPG dinaikkan berbanding RM2.50 sekilogram pada 2022.
Dalam pada itu, Adzmi berkata PKPKM berharap kerajaan dapat mempertimbangkan supaya bantuan di bawah skim Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) diberikan pada kadar 100 peratus serta memudahkan instrumen penyaluran kewangan tersebut kepada pekebun kecil.
Katanya, keperluan itu wajar diberi perhatian kerana kos menebang pokok lama, menyediakan kawasan tanaman, mendapatkan anak benih, membeli input pertanian serta melaksanakan kerja penanaman memerlukan modal yang besar dan ramai pekebun kecil yang tidak mempunyai modal mencukupi untuk memulakan semua perkara tersebut.
“Pekebun kecil berharap kadar bantuan dapat dipertimbangkan sehingga 100 peratus dan diberikan awal, bukan melalui kaedah pay and claim (bayar dan tuntut) kerana pekebun kecil bukan sahaja berdepan kos penanaman semula yang tinggi, malah perlu menanggung tempoh tanpa pendapatan sementara menunggu pokok sawit baharu matang dan mengeluarkan hasil,” katanya.
Dalam pada itu, PKPKM turut berharap Kementerian Perladangan dan Komoditi, Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah serta agensi berkaitan dapat mengkaji semula syarat minimum pemilikan tanah seluas 0.5 hektar bagi kelayakan menerima bantuan kerajaan dalam sektor agrikomoditi.
“PKPKM berpandangan bahawa syarat keluasan minimum tersebut perlu dinilai semula agar bantuan kerajaan dapat mengambil kira keadaan sebenar pekebun kecil, termasuk mereka yang memiliki tanah kurang daripada 0.5 hektar tetapi masih mengusahakan kebun secara aktif dan produktif,” katanya.













Tinggalkan Balasan