JAKARTA, 11 Okt — Malaysia sekali lagi muncul sebagai pelabur asing terbesar di wilayah Banten, Indonesia bagi tempoh antara 2023 hingga 2025, dengan merekodkan pelaburan direalisasi bernilai Rp43 trilion atau RM9.81 bilion (Rp1 juta = RM228.10).
Kaunselor Menteri (Ekonomi) di Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta Ahmad Akmal Muhamad berkata sejumlah 174 syarikat Malaysia kini beroperasi di Banten menunjukkan kehadiran besar perniagaan negara di wilayah tersebut.
“Kehadiran mereka didorong oleh beberapa faktor, termasuk ekosistem perindustrian yang mantap, ketersambungan logistik bersepadu, kerajaan wilayah yang menyokong serta pihak berkuasa pelaburan yang proaktif,” katanya kepada Bernama.
Pelaburan Malaysia itu turut diiktiraf semasa Forum Pelaburan Banten 2026 pada Jumaat, apabila negara menerima anugerah Penghargaan Rakan Strategik sebagai pengiktirafan terhadap sumbangan kepada pembangunan ekonomi wilayah tersebut.
Ahmad Akmal berkata pengiktirafan itu mencerminkan kedudukan Malaysia sebagai pelabur asing terbesar di Banten dalam tempoh tiga tahun tersebut, diikuti Singapura dan Jepun.
Beliau mengenal pasti tiga kawasan perindustrian utama yang menyokong perniagaan Malaysia, iaitu koridor petrokimia dan industri berat di Cilegon dan barat Serang, koridor pembuatan pelbagai sektor dan logistik di Kabupaten Serang serta zon teknologi tinggi dan inovasi digital di Tangerang.
Malaysia juga muncul sebagai pelabur asing terbesar di Banten pada 2022, dengan merekodkan pelaburan direalisasi sebanyak Rp17.31 trilion, menurut angka yang dikeluarkan oleh kerajaan wilayah tersebut.
Menurut Agensi Perangkaan Indonesia (BPS) dan kerajaan wilayah, Banten, yang meliputi kawasan seluas kira-kira 9,356 kilometer persegi di hujung barat Pulau Jawa, bersempadan dengan Jakarta dan Jawa Barat serta berfungsi sebagai pintu masuk antara Jawa dan Sumatera merentasi Selat Sunda.
Wilayah tersebut mempunyai 21 kawasan perindustrian dan dua zon ekonomi khas, iaitu Tanjung Lesung serta Zon Ekonomi Khas Pendidikan, Teknologi dan Kesihatan Antarabangsa Banten di Bumi Serpong Damai, demikian menurut Agensi Pelaburan dan Perkhidmatan Bersepadu Sehenti (DPMPTSP) Banten.
Asas perindustrian Banten merangkumi keluli, petrokimia, bahan kimia dan pemprosesan makanan, yang disokong oleh infrastruktur pelabuhan termasuk Pelabuhan Ciwandan yang mengendalikan kargo am, komoditi makanan serta penghantaran industri khusus, demikian menurut pengendali pelabuhan milik negara, PT Pelabuhan Indonesia (Pelindo).
Sementara itu, pengendali feri milik negara PT ASDP Indonesia Ferry memaklumkan pada Februari bahawa laluan penyeberangan Merak-Bakauheni, yang menghubungkan Banten dengan wilayah Lampung di Sumatera, berfungsi sebagai koridor pengangkutan utama bagi penumpang, kenderaan dan pengagihan barangan.
Menurut data BPS yang dikeluarkan pada 2 Februari, Banten mencatatkan nilai perdagangan barangan kira-kira US$51.93 bilion (US$1 = RM4.08) pada 2025, yang terdiri daripada eksport bernilai US$13.01 bilion dan import bernilai US$38.92 bilion yang mana masing-masing menunjukkan peningkatan sebanyak 6.66 peratus dan 1.62 peratus berbanding tahun sebelumnya.













Tinggalkan Balasan