Kenaikan Semula Kuota BUDI95 Ringankan Beban Rakyat, Pacu Pelancongan Domestik

MELAKA, 1 Sept — Kenaikan kuota BUDI MADANI RON95 (BUDI95) daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bermula hari ini bukan sahaja meringankan beban rakyat malah turut memacu sektor pelancongan domestik.

Pekerja kilang Johari Ibrahim, 44, yang tinggal di Klang, Selangor berkata kenaikan kuota itu sangat bertepatan dengan musim cuti persekolahan kerana rata-rata ibu bapa akan memanfaatkan cuti berkenaan untuk membawa anak-anak mereka melancong atau balik kampung.

“Cuti sekolah kali ini, saya dan keluarga melancong ke Melaka kerana banyak program menarik seperti sambutan Hari Kebangsaan dan beberapa tempat pelancongan dalam senarai untuk kami lawati.

“Alhamdulillah, ia satu berita baik kerana dapat meringankan perbelanjaan petrol. Apabila kuota dinaikkan semula kepada asal, lebih banyak tempat dapat kami lawati,” katanya yang memilih bercuti selama tiga hari di Melaka bersama isteri dan dua anaknya berusia 10 dan 12 tahun sempena cuti persekolahan pada bulan ini.

Sementara itu, pekerja sektor swasta Rohani Senin, 37, dari Batu Pahat, Johor berkata kenaikan kuota BUDI95 membantu beliau merancang perjalanan bercuti ke Melaka, sekali gus memanfaatkan cuti sekolah anak-anaknya dengan melawat tempat menarik serta bersejarah di negeri Hang Tuah.

“Pada mulanya saya memang tidak rancang untuk membawa anak-anak bercuti tetapi apabila Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) umumkan kuota BUDI95 dinaikkan, terus terdetik untuk bercuti ke Melaka.

“Melaka menjadi pilihan kerana negeri paling dekat dan tentunya perbelanjaan petrol dapat diminimumkan berbanding bercuti ke negeri lain,” kata ibu tunggal kepada lima anak lelaki berusia antara tujuh hingga 16 tahun itu.

Beliau berkata kenaikan kuota BUDI95 sebanyak 100 liter memberi kesan yang sangat besar kerana sekiranya tiada subsidi, perbelanjaan harian keluarganya akan sedikit terbeban dan bercuti bukan pilihan utama.

Rozita Ismail, 44, dari Klebang di sini berkata kenaikan kuota subsidi petrol itu membawa khabar gembira yang dinantikan kerana setiap cuti persekolahan panjang, beliau akan menghantar tiga anaknya pulang ke kampung di Rantau Panjang, Kelantan.

“Alhamdulillah, lega rasanya kerana perjalanan balik ke kampung agak jauh dan sudah tentu memerlukan peruntukan petrol yang agak besar belum termasuk kos lain,” katanya yang akan pulang esok.

Sementara itu, pekerja swasta Johardy Haron, 28, yang tinggal di Ayer Keroh di sini dan bekerja di Kuala Lumpur berkata kenaikan kuota itu memberi makna cukup besar buat dirinya yang perlu memperuntukkan perbelanjaan besar untuk berulang-alik antara dua negeri demi menampung kehidupannya.

“Setiap bulan kos minyak kereta untuk ulang-alik bekerja sahaja lebih RM600… memang mengharapkan subsidi BUDI95 ini, kalau tidak kos hidup lagi tinggi,” katanya.

Pada Ahad lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan kuota BUDI95 dinaikkan daripada 200 liter kepada 300 liter sebulan bermula hari ini dan akan dinikmati oleh lebih 16 juta pengguna.