KUALA LUMPUR, 28 Mei– Malayan Banking Bhd (Maybank) mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM2.48 bilion untuk suku pertama berakhir pada 31 Mac, 2026 berbanding RM2.58 bilion tahun lepas, disokong oleh margin faedah bersih (NIM) lebih baik, pengurusan kos dan kualiti aset berdisiplin dan yuran teras lebih tinggi.
Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan itu memaklumkan bahawa pendapatan yuran teras lebih tinggi didorong kebanyakannya oleh pengurusan kekayaan dan yuran berkaitan perbankan pelaburan serta jualan Pasaran Global (GM) lebih kukuh sepanjang suku tersebut.
Bagaimanapun, prestasi tersebut sebahagiannya diimbangi oleh pendapatan perdagangan yang lebih rendah dalam persekitaran pasaran yang mencabar.
Sementara itu, hasil menurun kepada RM14.91 bilion semasa suku tersebut daripada RM16.87 bilion sebelumnya.
“Prestasi suku pertama 2026 Maybank mencerminkan kekuatan dan daya tahan francais yang pelbagai dan pelaksanaan berdisiplin di sebalik keadaan pasaran tidak menentu.
“Bank terus memberikan pendapatan stabil disokong oleh NIM lebih kukuh, pengurusan kos berhemat dan kualiti aset stabil secara amnya sepanjang suku tersebut,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Datuk Seri Khairussaleh Ramli.
Beliau berkata kumpulan itu juga menyaksikan kemajuan berterusan merentasi beberapa perniagaan utama, terutamanya pengurusan kekayaan, perbankan pelaburan dan perniagaan aliran, mencerminkan kekuatan francais pelanggannya.
NIM meningkat kepada 2.14 peratus daripada 2.04 peratus tahun sebelumnya, peningkatan 10 mata asas (bps) tahun ke tahun, disokong oleh campuran pembiayaan kos lebih rendah dan nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) yang lebih tinggi sebanyak 41.1 peratus merentasi pasaran rumah.
“Asas lembaran imbangan kami kekal kukuh dengan penampan modal dan kecairan yang kukuh, serta kekuatan CASA berterusan merentasi pasaran rumah Maybank, membolehkan kami terus menyokong individu, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dan korporat besar,” kata Khairussaleh.
Pulangan atas ekuiti kekal positif pada 11.2 peratus.
Dalam pada itu, Maybank memaklumkan bahawa pendapatan bukan faedah merosot kepada RM1.99 bilion pada suku tersebut disebabkan oleh dagangan lebih lemah dan pendapatan berkaitan pasaran.
Pendapatan berasaskan dana bersih melonjak 3.2 peratus tahun ke tahun kepada RM5.11 bilion, didorong oleh peningkatan NIM dan pertumbuhan pinjaman yang stabil, manakala pendapatan operasi bersih berada pada RM7.10 bilion berbanding RM7.71 bilion sebelumnya.
Menurut Maybank, pengurusan kos kekal menjadi keutamaan, dengan perbelanjaan operasi berkurangan sebanyak 5.3 peratus tahun ke tahun dan 3.1 peratus suku ke suku, walaupun terdapat peningkatan dalam kos pelaburan teknologi.
“Ia menghasilkan nisbah kos kepada pendapatan bank tersebut ditutup pada 49.9 peratus, nisbah pinjaman terjejas kasar berada pada 1.34 peratus, manakala tahap perlindungan kerugian pinjaman kekal pada tahap munasabah iaitu 104.4 peratus, atau 113.6 per peratus jika tidak termasuk pengelasan semula peruntukan berkaitan peminjam berstruktur semula yang signifikan,” menurut Maybank.
Sementara itu, nisbah pelepasan kredit bersih menokok kepada 10 mata asas, mencerminkan peruntukan lebih rendah untuk peminjam korporat, sebahagiannya diimbangi oleh lapisan tambahan, muncul daripada risiko makroekonomi dan geopolitik yang baharu muncul iaitu RM2.4 bilion.
Pinjaman kumpulan berkembang 0.9 peratus tahun ke tahun kepada RM684.5 bilion, disokong terutamanya oleh pertumbuhan di Malaysia, menambah 5.5 peratus, dan di Singapura naik 3.6 peratus.
Mengenai prospek, Maybank memaklumkan bahawa kumpulan itu akan terus mengembangkan perniagaan terasnya di pasaran tempatannya dan mengintegrasikan lagi jejak serantaunya untuk memberi perkhidmatan lebih baik kepada pelanggan serantaunya di bawah strategi ROAR30, dilancarkan tahun ini.
“Maybank menyasarkan untuk membina perniagaan berskala dalam kewangan Islam, pengurusan kekayaan serantau, urus niaga dan pembayaran serantau serta perbankan korporat dan pelaburan serantau.
“Strategi ini juga mengutamakan pengukuhan keupayaan asas melalui pelaburan berterusan dalam teknologi, data dan teknologi buatan, membangunkan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan dan memacu produktiviti dan pengoptimuman modal,” menurut Maybank.

















Tinggalkan Balasan