Krisis Global: Kementerian Ekonomi Perkukuh Daya Tahan Ekonomi Negara

BATU KAWAN, 8 Mei — Kementerian Ekonomi memberi tumpuan kepada usaha memperkukuh daya tahan ekonomi negara serta menjamin keterjaminan bekalan bahan input utama susulan ketidaktentuan geopolitik dan krisis global yang masih berlarutan ketika ini.

Menterinya Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata kementerian mengambil pendekatan menyeluruh merangkumi pengurusan keperluan semasa serta perancangan strategi jangka panjang bagi memperkukuh struktur ekonomi negara.

Beliau berkata antara keutamaan ketika ini adalah memastikan keterjaminan bekalan supaya aktiviti ekonomi dapat terus berjalan dalam keadaan stabil meskipun berdepan cabaran global.

“Dari sudut krisis semasa, keutamaan ketika ini sudah tentu untuk memastikan keterjaminan bekalan bagi membolehkan aktiviti ekonomi terus berlangsung.

“Kita juga merujuk kepada Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang bermesyuarat setiap minggu bagi menilai keperluan intervensi kerajaan untuk terus meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi konflik dan krisis bekalan global,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke tiga syarikat di bawah Konsortium Pembungkusan Termaju Malaysia (MAPC) bersama Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang serta Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Sim Tze Tzin di sini hari ini.

Akmal Nasrullah berkata Kementerian Ekonomi turut meneliti langkah bagi menstruktur semula kekuatan ekonomi negara supaya lebih bersedia menghadapi cabaran semasa dan pada masa sama membina keupayaan baharu untuk jangka panjang.

Beliau berkata terdapat beberapa pendekatan utama yang sedang diberi perhatian kementerian dalam menguruskan kesan krisis, termasuk mengawal impak terhadap rakyat dan memastikan kesinambungan kegiatan ekonomi negara.

Katanya kerajaan juga memberi penekanan terhadap usaha memperkukuh struktur ekonomi negara dan meneroka peluang ekonomi baharu tanpa mengetepikan kepentingan membina keupayaan teknologi tempatan.

“Cabaran yang dihadapi Kementerian Ekonomi ketika ini melibatkan beberapa aspek utama, khususnya dalam memastikan bekalan bahan input penting kekal terjamin serta menguruskan kesan susulan krisis tersebut.

“Kita mahu memastikan kelangsungan kegiatan ekonomi dan kehidupan rakyat terus terpelihara, namun dalam jangka panjang kita juga perlu mencari jalan untuk memperkukuh struktur ekonomi negara serta membuka peluang yang lebih baik demi masa depan negara,” katanya.