Luosifen: Bau Misteri, Rasa Memikat Hati – Ikon Kota Liuzhou

Sekiranya berkunjung ke Liuzhou, jangan terkejut jika hidung anda tiba-tiba “diserang” aroma kuat yang sukar digambarkan iaitu gabungan antara masam, pedas, dan sedikit bau “misteri”.

Itu tandanya anda sudah hampir dengan hidangan paling terkenal di bandar ini: luosifen.

Secara literalnya luosifen bermaksud “mi siput sungai” dan hidangan istimewa ini berasal dari Liuzhou, sebuah bandar perindustrian yang terletak di wilayah Guangxi, barat daya China.

*Asal Usul Luosifen*

Dikatakan pada asalnya, luosifen bukan makanan yang popular sebaliknya ianya bermula sebagai makanan jalanan rakyat tempatan sekitar tahun 1980-an. 

Namun disebabkan rasanya yang unik dan baunya yang “misteri”, maka luosifen kini menjadi fenomena seluruh China, malah telah dieksport ke lebih 70 negara dan wilayah di seluruh dunia termasuk Singapura, Amerika Syarikat, Australia, Malaysia dan Vietnam.

*Rahsia Di Sebalik Semangkuk Luosifen*

Bahan asas luosifen ialah mi beras yang disajikan dalam sup berasaskan siput sungai (luosi) yang direbus lama bersama pelbagai rempah, cili, dan sayur jeruk.

Antara bahan penting yang perlu ada di dalam semangkuk luosifen adalah siput sungai, jeruk pucuk rebung, kacang goreng, tauhu kering, cili minyak dan cuka.

*Liuzhou dan Luosifen: Rasa Cinta Yang Tak Terpisah*

Luosifen bukan sekadar makanan di Liuzhou, tetapi ia simbol kebanggaan bandar ini. Kerajaan tempatan bahkan membangunkan Taman Perindustrian Luosifen bagi menonjolkan sisi keunikan makanan istimewa Liuzhou sekali gus menjadi salah satu tarikan istimewa sekiranya berkunjung ke sini.

Malah bagi pelancong, ada juga muzium dan kedai bertemakan luosifen, lokasi di mana anda boleh melihat cara pembuatan dan mencuba pelbagai versi luosifen, dari tradisional hinggalah moden yang mesra pelancong.

*Pengalaman Menikmati Luosifen*

Pertama kali mencuba? Bersedialah dengan aromanya yang “menguasai segenap ruang”. 

Namun magisnya, selepas suapan pertama, ramai yang terus jatuh cinta kerana kuahnya yang pekat, rasa pedas yang lazat, dan teksturnya yang memuaskan.

Ada penduduk tempatan berkata: “Bau mungkin buat kamu menjauhkan diri, tapi rasanya pasti buat kamu kembali!”

Bahkan di Liuzhou sendiri terdapat lebih 200 perusahaan berkaitan luosifen di mana mi yang mempunyai bau “misteri” ini menjadi identiti Liuzhou sehingga dikenali di seluruh dunia.

Jadi, sekiranya anda ke Liuzhou, jangan sesekali melepaskan peluang menikmati semangkuk luosifen di tempat asalnya.

Di sini anda akan faham kenapa satu hidangan sederhana ini mampu menawan seluruh China bahkan seluruh dunia, dan bau yang dianggap “aneh” itu hakikatnya adalah jiwa Liuzhou sendiri.