KUALA LUMPUR, 26 April — Komitmen empat negara pesisir iaitu Malaysia, Indonesia, Singapura dan Thailand untuk mengekalkan Selat Melaka daripada sebarang bentuk gangguan berkaitan keselamatan kini dilihat semakin penting.
Ia susulan perkembangan semasa yang memberi tekanan kepada prinsip undang-undang maritim serta kelancaran pelayaran, seperti yang berlaku di Selat Hormuz, meningkatkan keperluan dalam memastikan laluan itu kekal stabil dan selamat.
Sebarang gangguan terhadap Selat Melaka, iaitu laluan maritim strategik yang mengendalikan kira-kira 30 peratus perdagangan global, berpotensi meningkatkan kos, memperlahankan aliran perdagangan antarabangsa serta memberi kesan kepada ekonomi dunia.
Laluan itu juga kekal sebagai nadi utama perdagangan antarabangsa, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketegangan di Asia Barat yang menjejaskan pergerakan perkapalan di Selat Hormuz, satu lagi titik laluan strategik global.
Kepentingan Selat Melaka sepanjang kira-kira 900 kilometer, yang menghubungkan empat negara ASEAN, turut diperkukuh oleh peranannya sebagai penghubung antara Lautan Hindi dan Pasifik serta laluan laut terpendek antara Asia Timur dengan pasaran di Asia Barat dan Eropah.
Merupakan antara laluan perkapalan paling sibuk di dunia, dengan sekitar 94,000 transit kapal setahun atau kira-kira 257 kapal sehari, Selat Melaka mengendalikan hampir 30 peratus perdagangan laut global dari segi nilai serta kira-kira satu perempat penghantaran minyak dunia.
Dari segi komposisi, kapal tangki merangkumi 29.4 peratus daripada jumlah transit di Selat Melaka, diikuti kapal kontena (24.1 peratus) dan kapal pukal (19.7 peratus), manakala baki 26.8 peratus terdiri daripada kapal kargo am, pembawa kenderaan, kapal gas asli cecair (LNG) serta jenis kapal lain.
Justeru itu, kepentingan strategik laluan ini turut menimbulkan perhatian dari sudut perundangan dan sistem global, khususnya berkaitan pelaksanaan Konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS).
Ia berikutan sebarang gangguan berpanjangan di selat ini berpotensi menjejaskan norma sedia ada berkaitan kebebasan pelayaran dan perdagangan maritim.
Penganalisis industri perkapalan dan sarjana maritim, Nazery Khalid berkata gangguan berterusan di Selat Hormuz boleh memberi kesan rantaian kepada rangkaian bekalan global.
“Apabila kapal yang tidak dapat melalui Selat Hormuz terkandas di Teluk Oman dan Teluk Parsi, kesannya boleh merebak ke pelabuhan lain yang mempunyai hubungan dagangan dengan kawasan tersebut.
“Ini termasuk pelabuhan di sepanjang Selat Melaka seperti Pelabuhan Klang dan Singapura yang mempunyai jaringan luas dengan pelabuhan di kedua-dua teluk berkenaan,” katanya.
Sebarang gangguan aliran perkapalan, kata beliau, boleh menyebabkan kesesakan kargo dan tekanan kepada rantaian bekalan, sejajar dengan sifat perdagangan maritim global yang saling berkait rapat.
“Gangguan di Selat Hormuz turut menjejaskan bekalan tenaga global, memandangkan sebahagian besar penghantaran minyak dan gas dunia melalui Selat Melaka dalam perjalanan ke Asia Timur,” katanya, sambil menambah laluan itu turut menerima kesan tidak langsung daripada situasi di rantau Teluk.
Nazery juga menjelaskan peningkatan kehadiran aset keselamatan maritim, termasuk pemeriksaan terhadap kapal tertentu, meningkatkan ketidaktentuan terhadap laluan perkapalan di Teluk Parsi dan Teluk Oman, sekali gus memberi tekanan kepada rangkaian logistik global.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Penghantar Fret Malaysia (FMFF) Datuk Dr Tony Chia Han Teu berkata ketidaktentuan di Asia Barat, termasuk risiko peningkatan ketegangan di Laut Merah, merupakan cabaran struktur kepada industri perkapalan global.
“Apabila kapal mengelak untuk melalui Laut Merah dan mengambil laluan alternatif melalui Tanjung Harapan, tempoh pelayaran boleh meningkat antara 10 hingga 15 hari, sekali gus mengurangkan kapasiti efektif serta meningkatkan kos pengangkutan dan insurans,” katanya.
Beliau berkata situasi melibatkan beberapa laluan maritim utama secara serentak mewujudkan tekanan berganda terhadap sistem logistik global.
“Ia seterusnya menyumbang kepada peningkatan premium risiko dalam harga minyak dan kos penghantaran,” katanya.
Perkembangan ini turut menarik semula perhatian terhadap istilah “Dilema Melaka”, yang diperkenalkan oleh pegawai China pada 2003, merujuk kepada kebergantungan negara itu terhadap laluan Selat Melaka bagi perdagangan dan bekalan tenaga.
China, ekonomi kedua terbesar dunia dari segi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) nominal serta pengeksport terbesar global, merupakan rakan dagang terbesar Malaysia selama 17 tahun berturut-turut, dengan jumlah dagangan dua hala mencecah kira-kira US$191.66 bilion pada 2025.
Antara barangan utama yang melalui Selat Melaka ialah elektronik, jentera dan produk petroleum, menjadikannya laluan penting kepada rantaian bekalan serantau termasuk sektor pembuatan dan automotif China.
Meskipun laluan alternatif seperti Selat Sunda dan Selat Lombok tersedia namun ia akan melibatkan jarak pelayaran yang lebih jauh serta kos logistik yang lebih tinggi.
















Tinggalkan Balasan