MDEC Akan Sedia Panduan AI Ikut Industri Untuk PMKS

KUALA LUMPUR, 27 Nov — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) akan menyediakan panduan penggunaan kecerdasan buatan (AI) mengikut industri bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) menggunakannya dalam operasi harian tanpa mendedahkan data yang perlu dilindungi.

Pengerusi MDEC Ganesh Kumar Bangah berkata panduan itu akan menunjukkan cara memberi arahan kepada aplikasi AI mengikut keperluan perniagaan, selain membantu syarikat menentukan maklumat yang sesuai dikongsi dengan aplikasi berkenaan.

“Bagi penggunaan AI secara bertanggungjawab, panduan tersebut akan membantu PMKS mengenal pasti apa yang boleh dan tidak boleh digunakan,” katanya ketika ditemu bual dalam program Ruang Bicara: Aspirasi Ekonomi terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau berkata lebih satu pertiga rakyat Malaysia sudah mula menggunakan AI, namun cabaran seterusnya ialah membantu pengguna memanfaatkan teknologi itu untuk meningkatkan produktiviti, termasuk membina ejen AI yang boleh melaksanakan tugasan berulang.

“Beza prompt dengan ejen (AI agent) ialah prompt kita kena beritahu (AI) untuk memberikan kita nasihat dan panduan. Kalau ejen, dia boleh buat tindakan secara sendiri. Kalau kita dah mula membuat lebih banyak ejen, itu adalah di mana produktiviti kita akan naik,” katanya.

Ganesh berkata kos langganan dan pengetahuan berhubung cara menggunakan AI merupakan dua halangan utama bagi PMKS. 

Sehubungan dengan itu, beliau berkata bagi menangani isu kos, National Compute Exchange (NCX) dijadual dilancarkan tahun depan untuk menghubungkan syarikat tempatan dengan kapasiti pengkomputeran yang tersedia di pusat data dalam negara.

“Harapannya adalah supaya kos kepada syarikat PMKS ini akan menurun dengan adanya NCX ini,” katanya.

Beliau turut menjelaskan akses kepada kapasiti pengkomputeran pada kos lebih rendah berpotensi membantu PMKS bersaing dengan syarikat lebih besar dan mengembangkan perniagaan ke pasaran Asia Tenggara.

MDEC, katanya turut melihat peluang untuk menyesuaikan bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dengan perkembangan robotik, khususnya dengan melatih tenaga kerja membina dan mengendalikan robot bagi meningkatkan produktiviti.

Dalam pada itu, sebagai usaha merapatkan jurang digital, Ganesh berkata Jelajah Malaysia Digital anjuran MDEC telah singgah di 12 lokasi yang kebanyakannya di luar bandar bagi memberi pendedahan kepada masyarakat berhubung penggunaan AI dan perisian digital.

Di peringkat industri, beliau berkata MDEC membantu syarikat teknologi tempatan menembusi pasaran luar negara serta memadankan produk mereka dengan keperluan PMKS di Malaysia.

Selain itu, MDEC dan Kementerian Digital turut menyasarkan ekonomi digital menyumbang 30 peratus kepada ekonomi negara menjelang 2030 dengan penggunaan AI dalam kalangan PMKS menjadi antara tumpuan.

Ganesh pada masa sama menekankan celik AI adalah kemahiran utama yang diperlukan untuk mencapai sasaran Malaysia menjadi negara AI menjelang 2030.

“Selain itu, penggunaan AI yang lebih meluas dalam kalangan syarikat tempatan dan masyarakat berpotensi meningkatkan produktiviti, sekali gus menyokong kenaikan gaji dan pertumbuhan ekonomi negara,” katanya.