KUALA LUMPUR, 20 Nov — Kerajaan MADANI akan terus memperluas peluang keusahawanan dalam kalangan masyarakat India, khususnya golongan belia menerusi pelbagai inisiatif kementerian dan agensi kerajaan termasuk Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA).
Menteri Sumber Manusia Datuk Seri R. Ramanan berkata inisiatif berkenaan memberi tumpuan kepada penyediaan bantuan kewangan, pembiayaan dan pembangunan kemahiran bagi membolehkan lebih ramai belia menceburi bidang keusahawanan, selain membantu pengusaha sedia ada mengembangkan perniagaan.
“Antara inisiatif ialah Program Uyarvu MADANI yang diperuntukkan RM50 juta menerusi MITRA bagi menyediakan geran dan modal permulaan kepada usahawan masyarakat India, khususnya golongan B40 dan M40,” katanya ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Deepavali 2026 anjuran Dewan Perniagaan dan Perindustrian India Kuala Lumpur dan Selangor (KLSICCI) di sini malam ini.
Beliau berkata kerjasama antara agensi kerajaan, institusi kewangan dan dewan perniagaan seperti KLSICCI penting bagi memudahkan usahawan muda mendapatkan pembiayaan serta sokongan pada peringkat awal perniagaan.
Mengenai kerjasama MITRA dengan KLSICCI, Ramanan berkata lebih RM4 juta telah diluluskan bagi pelaksanaan dua program pembangunan keusahawanan serta bantuan kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) pada 2020 dan 2022.
“Program yang dilaksanakan pada 2022 itu menyasarkan 905 usahawan masyarakat India di seluruh negara dengan menyediakan bantuan peralatan perniagaan bernilai sehingga RM5,000 kepada setiap penerima,” katanya.
Ramanan turut mengiktiraf sumbangan usahawan masyarakat India dalam sektor peruncitan, pembuatan, pembinaan dan perkhidmatan profesional, selain berharap generasi muda dapat meneruskan legasi keusahawanan dengan membina perniagaan sendiri berasaskan pengalaman serta kejayaan generasi terdahulu.















Tinggalkan Balasan