GEORGE TOWN, 5 Mei — Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC) dan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) meluluskan penubuhan Syarikat Usahasama PILA Sdn Bhd bagi melaksanakan projek Penang International Logistics Aeropark (PILA).
Dalam kenyataan hari ini, Ketua Menteri Chow Kon Yeow berkata kebanyakan perkara utama dalam perjanjian berkaitan telah dipersetujui dan dimuktamadkan, dengan perjanjian itu dimeterai pada 13 April lepas.
Beliau berkata PILA merupakan projek usaha sama strategik antara PDC dan MAHB bagi membangunkan terminal kargo baharu yang akan mengukuhkan ekosistem logistik Wilayah Utara serta menyokong pertumbuhan sektor perindustrian Pulau Pinang.
“Kelulusan pelan induk kebenaran merancang telah diperoleh dan ketika ini kerja-kerja tanah serta rawatan tanah sedang giat dilaksanakan di tapak projek,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan selepas lawatan ke tapak PILA di sini hari ini.
Chow berkata fasa pertama projek itu melibatkan pembinaan bangunan gudang kargo udara baharu bertaraf Zon Komersial Bebas yang dijangka siap dan mula beroperasi pada 2029.
Secara keseluruhan, pembangunan PILA dijangka mampu menampung kapasiti kargo sehingga 500,000 tan setahun menjelang 2050 dengan penyediaan ruang gudang melebihi dua juta kaki persegi.
“Bagi fasa pertama, bangunan Gudang Kargo Udara dijangka mampu menyokong kapasiti tambahan sehingga 100,000 tan setahun,” katanya.
Beliau berkata projek itu turut merangkumi pembinaan terminal kargo serta laluan teksi pesawat tambahan bagi meningkatkan kapasiti operasi dan menarik lebih banyak penerbangan kargo ke Pulau Pinang.
Projek berkenaan juga penting bagi memenuhi keperluan logistik sektor perindustrian negeri, khususnya industri elektrik dan elektronik (E&E) serta semikonduktor yang terus berkembang meskipun berdepan cabaran global, kata Chow.
Menurutnya, tanpa kemudahan logistik tambahan, syarikat tempatan terpaksa bergantung kepada hab luar untuk penghantaran kargo, yang meningkatkan kos dan tempoh penghantaran.
“Dengan adanya kemudahan ini, kita berupaya menarik semula aliran kargo ke Pulau Pinang dengan konsep ‘Buatan Pulau Pinang, Diterbangkan dari Pulau Pinang’,” katanya.
Projek strategik itu dijangka dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam masa terdekat.

















Tinggalkan Balasan