Pembukaan Semula Selat Hormuz Bakal Sekat Kenaikan Harga Minyak Dalam Tempoh Terdekat

KUALA LUMPUR, 18 April — Pembukaan semula Selat Hormuz dijangka memberi tekanan penurunan terhadap harga minyak global dalam tempoh terdekat dan meredakan segera kebimbangan bekalan, kata Ketua Pegawai Eksekutif Centre for Market Education Dr Carmelo Ferlito.

Beliau berkata langkah tersebut mengurangkan premium risiko yang terbentuk sebelum ini akibat kebimbangan terhadap gangguan bekalan yang berpanjangan dengan pasaran sudah mula bertindak balas melalui penurunan ketara harga minyak selepas muncul isyarat bahawa laluan komersial disambung semula.

“Ia (pembukaan semula) mengurangkan risiko premium segera yang telah wujud ekoran kebimbangan terhadap bekalan yang berpanjangan.

“Pembukaan semula ini meredakan panik, namun ia tidak memulihkan keadaan normal secara serta-merta,” katanya kepada Bernama hari ini.

Bagaimanapun, Ferlito menegaskan bahawa penurunan harga mungkin tidak mampan sekiranya gangguan pengeluaran fizikal, kerosakan infrastruktur serta kos penghantaran dan insurans yang tinggi terus mengekang bekalan yang cekap.

Ketika berita ini ditulis, minyak mentah Brent susut 9.07 peratus kepada US$90.38 setong.

Pada Jumaat, Menteri Luar Iran Seyed Abbas Araghchi mengumumkan pembukaan semula sepenuhnya Selat Hormuz kepada semua kapal komersial bagi tempoh gencatan senjata yang berbaki, selaras dengan gencatan senjata di Lubnan.

Terdahulu, pada Khamis, Presiden Amerika Syarikat Donald Trump mengumumkan gencatan senjata selama 10 hari di antara Israel dengan Lubnan.

Ferlito berkata dalam jangka pendek, harga minyak global yang lebih rendah atau lebih stabil boleh membantu mengurangkan tekanan kos import, khususnya dalam sektor pengangkutan, logistik dan berkaitan bahan api.

“Kesan limpahan terhadap kos bahan api domestik bukanlah secara terus kerana mekanisme subsidi dan pilihan dasar fiskal masih mencorakkan harga runcit bahan api di Malaysia.

“Oleh itu, keuntungan utama dalam jangka pendek bukanlah prospek penurunan harga runcit bahan api secara serta-merta, sebaliknya lebih kepada pengurangan risiko lonjakan harga pada masa hadapan,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai aspek bekalan, Ferlito berkata pembukaan semula itu meredakan sebahagian daripada kebimbangan terhadap gangguan bekalan global, memandangkan satu daripada koridor tenaga paling kritikal di dunia tidak lagi dilihat sebagai terhalang sepenuhnya.

Pembukaan semula ini mengurangkan risiko ekstrem, namun ia tidak menghapuskan kerentanan bekalan.

Sesetengah medan minyak mungkin mengambil masa berbulan-bulan untuk kembali normal dan pihak insurans masih berhati-hati selagi gencatan senjata masih rapuh,” katanya.

Mengenai aspek mata wang, beliau berkata ketegangan geopolitik yang mereda boleh melemahkan dolar Amerika Syarikat (AS) dengan meningkatkan minat risiko global yang seterusnya mungkin menyokong ringgit.

Tambah beliau, trajektori mata wang tempatan masih bergantung kepada faktor-faktor yang lebih luas termasuk dasar monetari AS, aliran modal, dan asas ekonomi Malaysia.

Ferlito mengetengahkan dua faktor yang berpotensi menyokong ringgit iaitu nilai dolar AS yang lebih lemah dan tekanan harga berkaitan minyak global yang lebih rendah.

Pada penutupan Jumaat, mata wang tempatan meningkat kepada 3.9505/9545 berbanding dolar AS daripada 3.9520/9560 ketika ditutup pada Khamis.

Dari segi perdagangan, Ferlito berkata pembukaan semula itu sepatutnya membantu menambah baik aliran penghantaran tenaga global termasuk minyak dan gas asli cecair (LNG) dengan mengurangkan kelewatan serta meredakan tekanan pengangkutan.

“Bagi Malaysia, manfaatnya adalah secara langsung dan tidak langsung. Secara langsung, ia mengurangkan kemungkinan berlaku kesesakan bekalan dan lonjakan kos tenaga import. Secara tidak langsung pula, ia membantu menstabilkan keadaan perdagangan yang lebih luas,” tambahnya.