KUALA LUMPUR, 2 Okt — Perusahaan diterajui wanita mencatat potensi jualan eksport bernilai RM229 juta menerusi sesi padanan perniagaan yang telah diatur lebih awal dan pada pameran selama empat hari yang diadakan di Pavilion Women in Export (WiEX) @ MIHAS 2026.
Dalam satu kenyataan hari ini, Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) memaklumkan sebanyak 215 pertemuan perniagaan ke perniagaan (B2B) telah diadakan bagi menghubungkan usahawan wanita tempatan dengan pembeli dan pengedar antarabangsa dari Mesir, Kazakhstan, Uzbekistan, China, Hong Kong, Thailand, Indonesia dan Myanmar.
“Perusahaan milik wanita dari Selangor, Kedah, Kuala Lumpur, Perak dan Pulau Pinang mencatatkan jualan tertinggi dengan nilai gabungan RM129.84 juta untuk produk konfeksi, makanan ringan, kopi, teh, koko dan pakaian sukan.
“Diadakan sempena MIHAS 2026, WiEX mengetengahkan pendekatan keseluruhan kerajaan yang strategik bagi mengembangkan perniagaan diterajui wanita ke dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi,” kata agensi promosi perdagangan negara itu.
Diterajui oleh MATRADE dengan sokongan Pertubuhan Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (HAWA Malaysia), inisiatif itu menghimpunkan kementerian kerajaan dan agensi pembangunan utama.
Ini antaranya Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Majlis Amanah Rakyat (MARA), SME Corp Malaysia, Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER), Wanita Berdaya Selangor dan UDA Holdings Bhd.
Agensi itu berkata ekosistem antara agensi berkenaan dapat memastikan peralihan yang inklusif dan lancar untuk usahawan wanita, daripada pembangunan kapasiti di peringkat domestik hingga akses ke pasaran antarabangsa.
Bercakap pada Forum WiEX, Pengerusi MATRADE Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican menegaskan sumbangan daripada usahawan wanita merupakan tunjang kepada ekonomi Malaysia.
Beliau berkata Banci Ekonomi 2023 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) mendedahkan wanita memiliki 20.1 peratus daripada perniagaan di Malaysia, menjana output bernilai RM136.9 bilion dan menyediakan pekerjaan kepada hampir sejuta orang.
“Namun, masih terdapat ruang untuk meningkatkan kesediaan eksport. Sehubungan itu, MATRADE meneruskan inisiatif WiEX bersama HAWA Malaysia, yang dipengerusikan oleh Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil.
“WiEX kini menjadi komponen utama di bawah MIHAS 2026, menyediakan ekosistem lengkap yang merangkumi pembangunan kapasiti, akses pasaran dan pengiktirafan bagi membantu usahawan wanita merebut peluang di peringkat global,” katanya.
MATRADE memaklumkan menerusi gabungan usaha memudah cara perdagangan, sokongan strategik antara agensi dan bimbingan industri, agensi itu akan terus bekerjasama dengan HAWA Malaysia, KKDW, MARA, SME Corp, NCER dan rakan dagang antarabangsa untuk meningkatkan jenama ‘Made by Malaysia’ di peringkat global.
















Tinggalkan Balasan