KUALA LUMPUR, 21 April — Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan penambahan kemudahan RM5 bilion di bawah skim Syarikat Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) bagi membantu perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) berdepan impak krisis Asia Barat.
Penambahan kemudahan itu menjadikan jumlah keseluruhan berjumlah RM10 bilion.
Anwar, yang juga Menteri Kewangan berkata Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM) akan memperincikan mengenai penambahan kemudahan tersebut dalam masa terdekat.
“(Kemudahan) ini untuk membantu memacu pertumbuhan dan sebagai pemangkin kepada syarikat yang memerlukan.
“Bantuan ini mesti melibatkan syarikat yang lebih kecil dan kelompok pertanian, pekebun kecil, nelayan serta penjaja yang mengendalikan warung dan restoran kecil,” kata beliau pada sidang media selepas sesi meja bulat bersama 20 wakil institusi kewangan di sini hari ini.
Semalam, Anwar mengumumkan peruntukan jaminan RM5 bilion di bawah SJPP bagi meringankan tekanan PMKS susulan krisis tenaga global dan konflik Asia Barat.
Peruntukan itu bagi menyokong PMKS terjejas termasuk pembinaan, pertanian dan agri-makanan, logistik dan pengangkutan serta pelancongan melalui liputan pembiayaan sehingga 80 peratus daripada 70 peratus sebelum ini dan tempoh jaminan sehingga 10 tahun berbanding tujuh tahun.

















Tinggalkan Balasan