Program Pendigitalan Perniagaan SSM, Perkasa Usahawan B40 Dan Pelajar Manfaatkan Teknologi Digital

KUALA LUMPUR, 4 Okt — Selari dengan perkembangan pesat ekonomi digital yang terus mengubah landskap perniagaan, Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), sebuah agensi di bawah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) meneruskan komitmennya dalam memperkasa golongan usahawan tempatan menerusi penganjuran Program Pendigitalan Perniagaan 2026 (PPP26) Peringkat Negeri Perak.

Program yang berlangsung pada 3 Okt di Kolej Poly-Tech MARA (KPTM) Ipoh bertujuan untuk meningkatkan pengetahuan dan kemahiran usahawan dalam mengadaptasi teknologi digital, di samping membantu mereka meningkatkan produktiviti, memperluas pasaran serta memperkukuh daya saing perniagaan.

Usaha ini juga menyokong aspirasi Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN 2030), yang menjadikan pendigitalan sebagai satu daripada teras penting dalam membina ekosistem keusahawanan yang inklusif, progresif dan berdaya saing.

PPP26 juga dilaksanakan seiring dengan Program Inisiatif Pendigitalan Sektor Peruncitan (ReDI) KPDN dalam memperluas penerapan teknologi digital serta meningkatkan pendedahan peniaga terhadap pengoperasian perniagaan berasaskan digital.

PPP26 Peringkat Negeri Perak yang menarik penyertaan hampir 700 peserta telah dirasmikan oleh Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif SSM Rezy Izwan Ramly.

Dalam ucapannya, beliau berkata penguasaan teknologi digital semakin penting dalam memastikan golongan usahawan khususnya Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) mampu menyesuaikan diri dengan perubahan landskap perniagaan semasa.

“SSM komited untuk terus memainkan peranan dalam membantu dan memudah cara golongan usahawan agar dapat memanfaatkan teknologi digital dengan lebih berkesan, sekali gus memperkukuh keupayaan mereka untuk berkembang dan kekal berdaya saing dalam landskap perniagaan digital,” katanya.

Antara fokus utama PPP26 adalah untuk memberikan pemahaman dalam aspek penting dunia keusahawanan, khususnya penggunaan teknologi pemasaran melalui media sosial dan e-Dagang.

Peserta turut diberi pendedahan mengenai kesedaran terhadap penipuan kewangan melalui slot Scam Alert, pendigitalan perniagaan, strategi pemasaran digital serta perkongsian pengalaman daripada usahawan berjaya.

Peserta PPP26 juga mengikuti sesi pemasaran digital bersama penceramah Wan Fatin Sufina Wan Ahmad yang berkongsi strategi memanfaatkan media sosial untuk menarik pelanggan dan meningkatkan jualan, manakala penceramah Uzair Haqimy pula berkongsi pengalaman mengembangkan perniagaan daripada premis fizikal berskala kecil ke platform e-Dagang serta cabaran dan peluang dalam pasaran digital.

Selain pendedahan berkaitan pendigitalan, program ini turut menggalakkan peserta untuk memanfaatkan Skim Pendaftaran Perniagaan Percuma (SPPP).

Inisiatif ini memberi peluang kepada usahawan daripada kumpulan B40 serta pelajar sepenuh masa di institusi pengajian tinggi awam dan swasta (IPTA/IPTS), politeknik dan institusi kemahiran untuk mendaftarkan perniagaan secara percuma di bawah Akta Pendaftaran Perniagaan 1956, sekali gus menyokong kelestarian dan pertumbuhan PMKS.

Mulai 1 Jun 2026, SSM telah menambah baik SPPP dengan melanjutkan tempoh pendaftaran percuma daripada satu tahun kepada dua tahun. Sehingga 15 Sept 2026, sebanyak 226,273 perniagaan telah didaftarkan di bawah SPPP.

SSM menyediakan kemudahan pendaftaran dan pemerbadanan bagi tiga kategori entiti perniagaan, iaitu perniagaan milikan tunggal atau perkongsian, syarikat dan Perkongsian Liabiliti Terhad (PLT). Bakal usahawan boleh mempertimbangkan jenis entiti perniagaan yang sesuai dengan keperluan mereka sebelum membuat pendaftaran atau pemerbadanan dengan SSM.

Urusan dengan SSM, termasuk pendaftaran entiti perniagaan baharu, perubahan maklumat, pembaharuan dan penamatan, boleh dilaksanakan secara dalam talian melalui portal SSM4U di www.ssm4u.com.my.

PPP mula diperkenalkan pada  2025 dengan penganjuran tiga siri program di Sabah, Terengganu dan Pulau Pinang yang mencatatkan lebih 2,000 penyertaan. PPP26 merupakan kesinambungan dan penjenamaan semula program keusahawanan SSM terdahulu iaitu Program Usahawan Muda dan Program Bimbingan Usahawan. Penganjuran PPP26 Peringkat Negeri Perak merupakan siri pertama bagi tahun ini.

Pada program yang sama, SSM turut menyalurkan sumbangan berjumlah RM300,000 menerusi dana Wakalah Zakat Korporat (WZK) dan tanggungjawab sosial korporat (CSR) SSM kepada usahawan serta mahasiswa asnaf dan B40, rumah kebajikan, institusi keagamaan dan pertubuhan orang kurang upaya (OKU) di Perak.