Projek Pusat Data: Kerajaan Jamin Kelulusan Jika Bekalan Tenaga, Air Mencukupi – MITI

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Kerajaan memberi jaminan hanya akan meluluskan projek pusat data selepas memastikan kapasiti bekalan tenaga dan air mencukupi bagi memenuhi keperluan rakyat dan industri tempatan.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Sim Tze Tzin berkata Pasukan Petugas Pusat Data (DCTF) ditubuhkan untuk mengkaji keseluruhan ekosistem pusat data secara menyeluruh dengan meneliti setiap permohonan berdasarkan kapasiti bekalan tenaga dan air sebelum kelulusan diberikan.

Menurutnya, kerajaan akan bertanggungjawab memastikan bekalan tenaga tidak membebankan rakyat, manakala bekalan air akan terus diutamakan untuk penduduk sebelum sebarang kelulusan diberikan kepada syarikat pusat data berdasarkan kapasiti lebihan yang ada.

“Bekalan air itu kita kena pastikan keutamaan adalah untuk penduduk dan rakyat Malaysia. Ada excess kapasiti barulah kita luluskan kepada syarikat pusat data,” katanya.

Sim berkata demikian ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Wira Dr Ku Abd Rahman Ku Ismail (PN-Kubang Pasu) di Dewan Rakyat hari ini mengenai langkah dan strategi kerajaan bagi mitigasi penggunaan tenaga dan air oleh pusat data supaya ia tidak menjejaskan keperluan tenaga dan air untuk industri dan penduduk Malaysia dalam jangka masa panjang.

Beliau berkata Malaysia masih mempunyai kapasiti lebihan yang mampu menampung permintaan daripada permohonan yang dikendalikan oleh DCTF.

Terdahulu, Sim berkata pelaksanaan Strategi Semikonduktor Nasional (NSS) telah mula menunjukkan hasil yang memberangsangkan dengan pelaburan yang telah diluluskan dalam sektor semikonduktor mencapai RM91.9 billion dalam tempoh Januari 2024 hingga Mac 2026.

“Sumbangan pelaburan asing langsung sebanyak RM82.9 bilion dan pelaburan dalam negara (DDI) berjumlah RM8.9 bilion.

“Kerajaan juga memberi tumpuan kepada pembangunan bakat dengan sasaran 60,000 tenaga kerja terlatih. Sehingga Disember 2025, sebanyak 18,062 bakat tempatan telah dilatih, menandakan pencapaian yang memberangsangkan dan berada pada landasan yang betul,” kata Sim.

Beliau berkata demikian ketika menjawab Chong Zhemin (PH-Kampar)  mengenai strategi kerajaan menarik pelaburan baharu dalam sektor semikonduktor dan kecerdasan buatan bagi memastikan Malaysia kekal berdaya saing di rantau ini.