Nelayan Tanpa Lesen Boleh Mohon Menerusi Program Pemutihan – Mohamad

KUALA LUMPUR, 16 Julai — Kerajaan memberi peluang kepada nelayan yang belum berlesen untuk mengemukakan permohonan menerusi Program Pemutihan yang dilaksanakan dari semasa ke semasa bagi mengisi kekosongan lesen yang telah dibatalkan.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Datuk Seri Mohamad Sabu berkata nelayan pesisir pantai turut boleh mengemukakan permohonan lesen sampan khas kepada Pejabat Perikanan Daerah, tertakluk kepada syarat dan kriteria yang ditetapkan oleh Jabatan Perikanan (DOF).

“Pendekatan ini membolehkan lebih ramai nelayan beroperasi secara sah, mendapat akses kepada pelbagai program bantuan kerajaan serta meningkatkan pematuhan terhadap peraturan perikanan demi kelestarian sumber dan kesejahteraan komuniti nelayan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai menjawab soalan Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang) yang bertanyakan sama ada terdapat kelonggaran atau mekanisme khas berkaitan pengeluaran dan pembaharuan lesen penangkapan ikan bagi nelayan Zon A (bot pesisir pantai), khususnya nelayan tradisional yang berdepan dengan tindakan penguatkuasaan akibat isu pelesenan.

Mohamad berkata sebanyak 800 lesen telah diluluskan di seluruh negara pada tahun lepas dan 915 lesen diluluskan pada tahun sebelumnya.

Beliau menjelaskan mekanisme dan syarat pelesenan sedia ada masih relevan dan memenuhi keperluan semasa dalam memastikan lesen diberikan kepada individu yang benar-benar layak serta bergantung kepada sektor perikanan sebagai sumber pendapatan utama.

Menjawab soalan tambahan Syed Abu Hussin mengenai keperluan menetapkan kriteria yang lebih telus, Mohamad berkata DOF akan melihat kriteria bagi pengeluaran lesen dari semasa ke semasa kepada individu yang layak.

“Kalau ada misalnya mereka yang bukan bertaraf nelayan tetapi mendapat lesen, sila buat aduan secara bertulis ataupun berjumpa dengan pegawai kita untuk tindakan,” katanya.

Mohamad berkata antara kriteria permohonan lesen sampan khas ialah perakuan 10 tahun bermastautin daripada ketua kampung nelayan, turun ke laut sekurang-kurangnya 120 hari dalam setahun dan mendapat sokongan Pejabat Perikanan Negeri.

“Syarat utamanya mesti berumur 18 tahun ke atas, sihat tubuh badan, bekerja sebagai nelayan dan kalau orang berpencen, pencen tidak melebihi RM2,200.

“Kita beri kepada mereka yang betul-betul memerlukan. Segala rungutan yang diberikan kita harap diperincikan… kalau ada kes-kes tertentu kita akan bertindak berdasarkan kes-kes yang dilaporkan,” katanya.