18 Warga China Disyaki Terlibat Penipuan Dalam Talian Dicekup

IPOH, 16 Julai —  Polis menahan 18 lelaki warga China disyaki terbabit dalam kegiatan penipuan dalam talian menerusi dua serbuan berasingan di sekitar bandar raya ini pada Isnin lepas.

Ketua Polis Perak Datuk Mohd Alwi Zainal Abidin berkata serbuan pertama di sebuah apartmen di Laluan Ipoh Permai 3, Apartment Ipoh Hill Permai membawa kepada penahanan 10 suspek.

“Serbuan kedua di sebuah rumah di Laluan Tasek Timur 5, Taman Tasek Indra pula menahan lapan lagi suspek yang dipercayai terbabit dalam kegiatan sama,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata polis turut merampas pelbagai peralatan elektronik termasuk komputer riba, telefon bimbit dan peralatan lain dianggarkan bernilai RM78,000 yang digunakan ketika mengendalikan aktiviti penipuan.

Mohd Alwi berkata kes disiasat di bawah 420 Kanun Keseksaan, Seksyen 120B Kanun Keseksaan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.