PTPTN Peruntuk RM3 Bilion Untuk Pinjaman Pendidikan Tahun Ini

TASEK GELUGOR, 14 Jun — Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) memperuntukkan kira-kira RM3 bilion tahun ini bagi membantu pembiayaan pendidikan kepada pelajar yang akan dan sedang melanjutkan pengajian di Institusi Pengajian Tinggi (IPT).

Pengerusi PTPTN Datuk Seri Norliza Abdul Rahim berkata peruntukan itu disalurkan menerusi pinjaman pendidikan PTPTN bagi memastikan tiada pelajar tercicir daripada melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi akibat kekangan kewangan.

“Pelajar-pelajar yang menerima tawaran ke universiti, politeknik dan institusi berkaitan boleh memohon pembiayaan PTPTN melalui aplikasi MyPTPTN, setiap tahun kita memperuntukkan lebih kurang RM3 bilion untuk membantu mereka termasuk (pelajar) yang sedang mengikuti pengajian.

“Kita tidak mahu ada pelajar yang tercicir disebabkan masalah kewangan kerana kita mahu mereka menyambung pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi,” katanya kepada pemberita, di sini hari ini.

Beliau ditemui selepas menghadiri Program Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) Santuni Komuniti MADANI #PERDADiHati Kawasan Permatang Berangan di Dewan Terbuka Masjid Jamek Al-Islah di Pokok Tampang  di sini yang dirasmikan oleh Pengerusi PERDA Datuk Dr Shaik Hussein Mydin.

Norliza berkata PTPTN turut menyediakan Wang Pendahuluan Pinjaman (WPP) sebanyak RM1,500 bagi membantu pelajar baharu menampung keperluan awal sebelum mendaftar di IPT.

Bantuan itu boleh digunakan bagi tujuan pembayaran yuran pendaftaran, pembelian kelengkapan pembelajaran dan perbelanjaan permulaan lain.

“Pelajar yang memerlukan WPP itu, mereka boleh mengemukakan permohonan melalui aplikasi MyPTPTN,” katanya.

PTPTN turut memperkenalkan Biasiswa Anak Kasih PTPTN, yang dilancarkan buat julung kali di Johor semalam bagi membantu pelajar daripada keluarga berpendapatan rendah dan biasiswa itu disasarkan kepada 10,000 pelajar di seluruh negara bagi tahun 2026, khususnya mereka yang mempunyai pendapatan isi rumah di bawah RM4,000 sebulan.

“Sekiranya terdapat keperluan untuk lebih ramai pelajar, permohonan boleh dirujuk dan kita akan meneliti kesesuaian berdasarkan syarat yang ditetapkan,” katanya.