KUALA LUMPUR, 15 Mei — Prospek ekonomi Malaysia yang teguh serta momentum pembaharuan berterusan dijangka terus menyokong ringgit manakala faktor luaran akan terus mempengaruhi pergerakan kadar pertukaran asing, menurut Bank Negara Malaysia (BNM).
Bank pusat itu memaklumkan nilai ringgit mengukuh berbanding mata wang rakan-rakan dagangan utama Malaysia pada suku pertama 2026 sepertimana dipaparkan oleh kenaikan 1.4 peratus dalam kadar pertukaran efektif nominal (NEER).
Ringgit turut meningkat sebanyak 0.5 peratus berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) pada suku berkenaan walaupun dolar AS mengukuh susulan konflik di Asia Barat dalam keadaan sentimen mengelak atau penghindaran risiko.
“Penambahan nilai ringgit disokong oleh asas domestik Malaysia yang kukuh dan momentum pertumbuhan, di samping aliran masuk berterusan oleh pelabur bukan pemastautin ke dalam pasaran domestik.
“Walaupun terdapat sedikit ketidaktentuan berikutan konflik di Asia Barat dan jangkaan yang mereda terhadap pengurangan kadar dasar oleh Rizab Persekutuan AS, prestasi ringgit kekal baik sejak awal tahun sehingga kini dengan penambahan nilai sebanyak 3.3 peratus berbanding dolar AS dan 2.9 peratus dari segi NEER pada 13 Mei, 2026,” menurutnya dalam Kenyataan Perkembangan Ekonomi dan Kewangan Malaysia pada Suku Pertama 2026 dikeluarkan hari ini.
BNM memaklumkan akan terus memantau perkembangan global dengan teliti dan komited untuk memastikan pasaran pertukaran asing domestik terus berfungsi dengan teratur.
Dalam pada itu, bank pusat itu menyatakan sektor kewangan terus menyokong keperluan pembiayaan ekonomi dengan pertumbuhan kredit kepada sektor swasta bukan kewangan meningkat kepada 5.6 peratus peratus pada suku pertama 2026 (suku keempat 2025: 5.3 peratus) berikutan pertumbuhan pinjaman terkumpul yang lebih tinggi (5.6 peratus; suku keempat 2025: 4.9 peratus), terutamanya dalam kalangan perniagaan.
Pinjaman perniagaan berkembang sebanyak 5.8 peratus (suku keempat 2025: 3.9 peratus), disebabkan terutamanya oleh pertumbuhan pinjaman yang lebih tinggi dalam kalangan bukan PKS, manakala pertumbuhan pinjaman PKS secara keseluruhannya mampan pada 6 peratus (suku keempat 2025: 5.9 peratus).
Bagi isi rumah, pertumbuhan pinjaman kekal stabil pada 5.4 peratus (suku keempat 2025: 5.5 peratus), dengan pertumbuhan yang stabil bagi kebanyakan tujuan.
“Pertumbuhan bon korporat terkumpul menjadi sederhana kepada 5.8 peratus (suku keempat 2025: 6.9 peratus) berikutan terbitan yang lebih rendah pada suku tersebut,” menurutnya.
Selain itu, sektor perbankan juga terus menyokong pelanggan secara proaktif melalui langkah-langkah bersasar dan disesuaikan bagi membantu aliran tunai, meneruskan kesinambungan perniagaan dan memelihara daya maju kewangan jangka panjang.
Ini termasuk langkah institusi kewangan menawarkan pelbagai program yang menyediakan fleksibiliti pembayaran balik, penstrukturan semula kemudahan pembiayaan serta khidmat nasihat bagi membantu pelanggan menguruskan cabaran aliran tunai.
Menurut BNM, peminjam juga boleh mendapatkan bantuan melalui Program Pengurusan Hutang dan Skim Penyelesaian Pinjaman Kecil yang ditawarkan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK).
Dalam pada itu, terdapat kemudahan Bantuan Kestabilan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (SME SRF) berjumlah RM5 bilion sebagai pembiayaan bantuan untuk menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana yang terjejas akibat konflik Asia Barat selain pembaharuan struktur jangka panjang bagi memperkukuh daya tahan PKS pada masa depan.
“BNM sedang bekerjasama dengan Credit Guarantee Corporation Malaysia Berhad (CGC) untuk memperkenalkan skim jaminan berjumlah RM10 bilion yang merangkumi enam skim jaminan portfolio yang meliputi bidang rangkuman kewangan, iklim dan kelestarian, produktiviti serta daya tahan yang tersedia untuk PKS mulai 1 Jun, 2026.
“Maklumat lanjut mengenai skim ini akan diumumkan dalam masa terdekat,” menurutnya.

















Tinggalkan Balasan